Auto TravelPandu Uji

Honda X-ADV kenderaan gemalai santai, membara kembara

RAMAI yang gemarkan motosikal berkuasa tinggi. Bagaimanapun kemampuan memilikinya hadir ketika usia yang agak senja.

Lantaran skill dan kepekaan semakin terhakis, apatah lagi komitmen harian padat, menghalang untuk membugar apatah lagi mengasah kembali kemahiran yang merosot.

Motosikal harus ditunggang setiap hari barulah jentera itu sebati dengan pemiliknya dan tunggangan menjadi lancar bila jentera bersatu dengan jasad manusia.

Ada juga yang ghairah dengan motosikal berkuasa besar, tetapi dilahirkan memang tidak mahir mengendali jentera sedemikian apatah lagi untuk melayan gear dan clutch.

Jadi solusinya ialah skuter. Dek nafsu yang besar ia memerlukan skuter yang berkuasa besar barulah amarah dan serakah itu puas.

Jawapannya adalah Honda X-ADV. Jentera yang akan membuat anda merasai pengalaman berbeza daripada segi reka bentuk dan kelebihannya. Ia sebuah skuter maxi yang besar tetapi mudah dikawal ke mana sahaja anda inginkan hinggakan Mr.Stick sentiasa mencari alasan untuk menunggangnya.

Di dalam dunia pengembaraan, tentu kita mahukan sebuah jentera yang praktikal untuk digunakan pada bila-bila masa. Tetapi, adakah ia terhad hanya di atas jalan raya sahaja? Bagaimana pula kepada keupayaannya di atas jalan tidak berturap? Itulah salah satu perkara yang kami cari dengan Honda X-ADV, untuk mengetahui dan mempelajari jentera yang serba boleh dan praktikal untuk kegunaan harian dan riadah.

Honda X-ADV ini dilengkapi dengan enjin bersesaran 745cc, silinder berkembar selari sama seperti motosikal Honda rangkaian NC750 seperti NC750X termasuk Integra yang sedia ada di pasaran. Enjin ini menghasilkan kuasa 54 hp dan tork 50 lbft. Sangat selesa. Tork tertinggi adalah pada putaran enjin 4,750rpm dan kuasa puncak pada 6,250rpm, jauh daripada garis merah ketika kita galak memulas pendikit.

Keasyikan melayan jentera ini membuatkan perhatian anda lebih tertumpu kepada kelancaran sistem transmisi automatiknya yang hadir bersama sistem transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) Honda ketika memotong atau melayan selekoh di jalan raya luar bandar. Tukaran gearnya sangat sesuai dengan kelajuan dan keadaan jalan. Sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan ketika menunggang dengan santai.

Honda X-ADV mempunyai mod ‘Drive’ dan ‘Sport’. Berdasarkan kepada gaya tunggangan Mr.Stick, rasanya tak perlu dijelaskan mod apa yang menjadi pilihan hati beliau. Jika anda tidak berpuas hati dengan tukaran gear secara automatik, anda boleh menukar gear secara semi-auto dengan menekan butang ke atas atau ke bawah dengan butang tukaran gear di hendal kiri. Sistem DCT menyampaikan kuasa berdasarkan putaran pendikit lebih cepat daripada sistem CVT yang tipikal dengan skuter maxi biasa, kerana nisbah gear CVT tidak sentiasa berubah-ubah berbanding DCT.

Honda membuatkan mod ‘Drive’ untuk X-ADV memilih gear yang lebih rendah berbanding NC750S bagi memberikan lebih tork. Honda X-ADV mempunyai casis keluli tubular sepenuhnya, jadi walaupun ia mempunyai enjin sama seperti rangkaian NC750, ia tidak berkongsi casis. Walau bagaimanapun, ia lebih menyerupai sebuah motosikal kembara berbanding dengan ‘maxi-scooter’ lain, seperti Honda Integra.

Pusat graviti Honda X-ADV ini tinggi tetapi apabila anda duduk sahaja di atasnya, anda akan terasa anda dihubungkan secara terus kepadanya. Ini membuatkan anda merasa lebih yakin menunggangnya di jalan raya. Penyerap hentak hadapannya jenis ‘upside down’ bersaiz 41mm dan penyerap hentak belakang dengan ‘Pro-Link’ dengan kelegaan bumi 162mm adalah memadai bagi Honda X-ADV walaupun tetapan standard penyerap hentaknya adalah pada tetapan yang lembut.

Mr.Stick sempat menguji Honda X-ADV di kawasan berpasir dan berbatu kecil di kawasan lombong di Batu Gajah dan mendapati motosikal ini amat menyeronokkan. Ia berjaya membuat kita leka dan lupa seketika yang jentera ini adalah sebuah skuter yang besar. Apabila berdiri ketika mengawalnya di laluan mencabar, bar hendal akan berada terlalu dekat dengan kaki tetapi roda hadapan bersaiz 17 inci masih terasa lembut kawalannya.Perjalanan di kawsan jalanraya luar bandar amat selesa dan meyakinkan. Penunggang akan dapat mengawalnya dengan yakin dan Honda X-ADV boleh membuatkan kita berfikir sejenak, adakah ini sebuah skuter atau motosikal ‘adventure’?

Artikel asal disiarkan oleh https://www.enjindot.com/

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button