Belanjawan 2021 semalam, hari ini kita tunggu dan lihat – Ibrahim Ali
PRESIDEN Parti Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada permukaannya adalah belanjawan yang sukar untuk diberikan respons.
Beliau berkata, pihaknya mengambil pendirian berkecuali.
“Sukar untuk dinyatakan. Kita puji tidak, mengkritik pun tidak kerana berdasarkan pengalaman belanjawan dahulu, semua perkara pada awal pengumuman dilihat begitu hebat.
“Kenyataan Polisi atau ‘Policy Statement’ sentiasa hebat dan selalunya, semua pihak bertepuk tangan dan memuji-muji.
“Apatah lagi golongan yang tidak mahu mengambil risiko dan sentiasa mencari kepentingan dengan sinonim pepatah Melayu yang berbunyi, sambil menyelam minum air,” katanya dalam satu kenyataan kepada SUARA MERDEKA hari ini.
Ibrahim berkata, persoalan pokok di sini bukan pengumuman itu dan ini tetapi yang utama ialah pelaksanaannya.
Beliau menegaskan, terbukti selama ini gagalnya sesuatu dasar, program dan apa jua yang diumumkan ialah pelaksanaannya.”A good policy must be with good implementation”.
“Apabila tiba kepada pelaksanaan, berlaku rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, pilih kasih, nepotisma, pembaziran dan bersifat ‘political selective’.
“Contoh terbaik sama ada zaman BRIM (Barisan Nasional atau BN) atauBSH PH, terdapat rakyat yang berhak menerima bantuan tetapi dinafikan bantuan atas pelbagai alasan seperti syarat gagal dipenuhi.
“Agihan projek juga sama. Ia berpandukan kepada ‘survival of the fittest’ dan pilih kasih atas nama Parti Politik,” kata Ibrahim.
Beliau berkata, ini berlaku di zaman BN mentadbir negara lebih 60 tahun dan di zaman PH 22 bulan.
“Kini zaman PN pula. Orangnya sama tetapi berbeza baju. Sama saaja ibarat kata, 2 x 5 dan 5 x 2.
“Putra berharap Belanjawan 2021 ini yang diselubungi wabak Covid-19 tidak akan menjadi seperti indah khabar dari rupa.
“Rakyat pula bila dengar guruh di langit, biarlah hujan turun dulu sebelum membawa baldi ke padang untuk tadah air hujan,” katanya.
Beliau juga berkata, jika kepentingan memilih parti didahulukan maka berlakulah kezaliman di kalangan rakyat.
“Hebat macam mana Belanjawan sekali pun, ia hanya retorik dan segelintir mendapat faedah iaitu puak parti yang menguasai kerajaan, geng-geng dan sahabat-sahabat proxy,” ujar beliau. – SM