Belanjawan propaganda, kata Wanita Amanah
ANGKATAN Wanita Amanah Nasional (Amanah) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasioanal semalam sebagai belanjawan propaganda.
Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, beliau tidak nampak bagaimana belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu mampu memulihkan ekonomi secara menyeluruh.
“Bajet 2021 adalah satu belanjawan propaganda hasil daripada kepimpinan tebuk atap dan sebuah pasukan pentadbiran yang gagal stabil. Tiada fokus dan kebanyakan hanya bersifat “surface”.
“Kekhuatiran saya adalah bahawa ia hanyalah sebuah belanjawan menyambung hayat para pengkhianat nasional dan proksi-proksi politik mereka menerusi penyediaan beberapa dana yang diragui keberkesanan pelaksanaannya,” kata Aiman Athirah.
Menurutnya, Belanjawan 2021 jelas bukan untuk kepentingan rakyat keseluruhan yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Beliau mendakwa belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu merupakan satu penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pengikut-pengikut para politikus ‘pengkhianat’.
Sementara rakyat kebanyakan katanya, akan terus kehilangan pekerjaan dan sumber mata pencarian.
“Kerajaan gagal memberi fokus kepada usaha dan strategi konstruktif kerajaan bagi membantu lebih kurang 81,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 agar dapat memperolehi kembali punca pendapatan mereka.
“Dan bagaimana menangani masalah pengangguran negara yang kini mencecah hampir 800,000 orang ,” kata Aiman Athirah.
Beliau turut menggesa kerajaan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon pengeluaran simpanan akaun 1 masing-masing mengikut keperluan strategik semasa.
“Contohnya sebagai modal perniagaan, apa salahnya mereka ‘diberikan kemerdekaan’ untuk menentukan sekaligus merancang masa depan mereka sekarang? Kejayaan tidak menunggu sesiapa. Kita semua yang perlu mengejarnya,” kata Aiman Athirah.
Bertemakan “Teguh kita, menang bersama”, Belanjawan 2021 adalah belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk Mac lalu.
Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan untuk Belanjawan 2021 iaitu RM25.5 bilion lebih banyak daripada Belanjawan 2020 yang berjumlah RM297 bilion.-SM
Kira-kira RM236.5 bilion (73.3%) diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion (21.4%) untuk pembangunan dan RM17 bilion (5.3%) untuk dana Covid-19.
Dalam Belanjawan itu, Kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan dari akaun 1 sebanyak RM6,000 dengan pengeluaran RM600 sebulan selama 12 bulan.-SM