Pengubahan wang haram: Nabil, Mark Adam akui jumpa SPRM
PELAWAK dan pengacara popular, Nabil Ahmad, 37, mengakui dia antara individu yang tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.
Menurut Nabil, dia dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
“Kes ini sudah selesai. Mereka tanya berkenaan pembukaan kedai minuman Bubble Bee di Seremban dan saya maklumkan ia belum beroperasi lagi.
“Selepas itu mereka terus tak tanya apa-apa lagi dan itu sahaja soalannya,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Mark Adam, mengakui sudah bertemu pihak SPRM baru-baru ini.
Menurut isteri yang juga pengurusnya, Norazah Redzuan atau lebih dikenali sebagai Ezan, pertemuan itu bukan diadakan di Pejabat SPRM sebaliknya di lokasi penggambaran.
“Mereka tanya sama ada terlibat ke tak dengan Bubble Bee. Kami cakap ada tetapi sebagai duta untuk Bubble Bee cawangan PKNS sahaja.Kami pun belum menerima sebarang bayaran atau menandatangani apa-apa perjanjian.
“Pertemuan itu tidak lama. SPRM tidak ada mengarahkan kami untuk pergi ke pejabat,” ujarnya seperti dilaporkan Astro Gempak.
Terdahulu media melaporkan lima selebriti termasuk seorang wanita terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pengacara tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berkaitan aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian. -SM