Hiburan

Bekas suami Ziana Zain rayu Mahkamah Tinggi ketepikan hukuman penjara

Armin Zaharin didapati bersalah pukul, cederakan anak lelakinya

BEKAS suami penyanyi dan pelakon, Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan merotan anak lelakinya membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi semalam mengenepikan hukuman tersebut.

Peguam yang mewakili Armin Zaharin, 55, memberitahu BERNAMA, rayuan telah dibuat pada tarikh yang sama hukuman dijatuhkan ke atas anak guamnya oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 28 September lalu.

Beliau berkata, rayuan sepatutnya dikemukakan hari ini (semalam) bagi pengurusan kes di hadapan Registrar Kanan Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar tetapi terpaksa ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 November ini.

Katanya lagi, mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh 19 November pagi pengurusan kes di hadapan Nur Azizah.

Terdahulu, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari ketika membuat keputusan terhadap Armin Zaharin yang didapati bersalah, dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas anak lelakinya dan lebam-lebam di bahagian tangan. Ketika itu, mangsa berusia 9 tahun dan Armin Zaharin telah menggunakan rotan untuk memukul anaknya itu (mangsa) di rumah mereka di Denai Alam, Shah Alam, Selangor antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 4 Februari 2018.

Dia dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Sabreena bagaimanapun membenarkan hukuman ke atas Armin Zaharin ditunda sehingga proses rayuannya selesai.

Armin Zaharin turut diperintahkan membayar wang jaminan berjumlah RM5,000 ke RM8,000.

Bekas Ketua Pramugari itu ditahan polis pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin, 52, membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.

Ziana dan Armin Zaharin telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1998 dan hasil perkhawinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 11 hingga 20 tahun.

Pasangan ini bercerai pada Julai 2018. – SM

(Visited 782 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button