Hannah amal politik murahan – Pemuda MCA
TINDAKAN Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri untuk berhenti mengadakan sidang media harian jika tidak ada pengumuman penting yang dapat membantu rakyat, disifatkan sebagai mahu mencari publiciti murahan.
Ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata, Ahli Parlimen DAP itu hanya bermain wayang politik serta menangguk di air keruh ketika seluruh negara sedang dilanda pandemik Covid-19.
“Sekiranya Yeoh berniat ikhlas membantu rakyat dan negara, beliau sepatutnya tampil menjelaskan segala kemusykilan ketika rakyat berasa bingung, bukannya menyalahkan mereka yang sedang gigih bekerja.
“Beliau gagal memahami bahawa kerajaan bersikap telus dan terbuka dalam mengadakan sidang media stiap hari bagi menyampaikan perkembangan terbaru Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Ia langkah tepat apabila Menteri sendiri boleh menjawab terus apa-apa persoalan yang timbul, pada ketika itu juga,” kata Nicole mempertahankan Ismail Sabri.
Jelas Nicole, Malaysia malah seluruh dunia sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku dan kerajaan sedang mencurahkan segala tenagan bagi menangani krisis disebabkan pandemik Covid-19.
Justeru katanya, kesilapan atau tersasul memang boleh berlaku semasa sidang media apabila keadaan cemas atau kesuntukan masa dan ia seharusnya boleh difahami serta dimaafkan.
“Apa yang telah para ahli Parlimen pembangkang lakukan semenjak pandemik mula melanda pada Mac tahun ini? Jawapannya, hanya wayang politik, atau mencari kesilapan remeh di pihak kerajaan, kemudian mengeluarkan kata-kata provokatif dan menghasut rakyat. Itu sahaja.
“Negara sekarang memerlukan perpaduan seluruh rakyatnya bagi menghadapi pandemik. Pemimpin-pemimpin tanpa mengira fahaman politik perlu mengenepikan ideologi masing-masing buat sementara untuk menangani krisis ini bersama, bukannya mempersenda tindakan yang baik atau caci-mencaci tanpa sebarang sumbangan,” nasihat Nicole.
Semalam Hannah menyindir sidang akhbar yang dilakukan oleh Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.
Menurutnya, sidang akhbar bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.
“Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru.
“Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri akan melakukannya!” kata Hannag menerusi satu kenyataan.
Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan semua prosedur operasi standard (SOP) sebelum dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan.
Menurutnya, SOP panduan bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan sebelum ini terlalu umum dan sangat mengelirukan.
Jelasnya, arahan yang mengelirukan dan ‘setengah masak’ mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.-SM