Politik

Laporan Utusan berniat jahat – Khalid

Laporan Utusan Malaysia bertarikh 15hb Oktober bertajuk “DAP tiada masalah bersama UMNO” disifatkan berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan antara AMANAH dan DAP

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, laporan akhbar berkenaan hanya mengambil kata-katanya di luar kontek perbincangan di mana pada dasarnya temubual itu berhubung pendirian AMANAH dan bukan DAP.

“Tidak wajar kata-kata saya dipetik sebagai mewakili pendirian DAP sedangkan saya merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH, bukan DAP.

“Ia menggambarkan diri saya sebagai mewakili dan bercakap bagi pihak mereka sedangkan temubual yang dilakukan adalah berhubung pendirian AMANAH.

“Saya harap keadaan dan konteks sebenar kata-kata saya semasa temubual berkenaan adalah jelas dan saya menyeru pihak media untuk mempertingkatkan lagi profesionalisme mereka semasa melaporkan sesuatu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menafikan memberi apa-apa temubual berhubung pendirian DAP mengenai apa jua isu kepada mana-mana akhbar, sama ada berbahasa Inggeris atau Mandarin.

“Saya menganggap laporan ini berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan antara saya dan rakan-rakan saya yang bersama DAP,” katanya.

Tegas Khalid, dalam menjelaskan pendirian AMANAH beliau telah menyatakan kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO adalah mungkin, tetapi sepertimana dengan semua persoalan kerjasama, ianya semestinya bergantung kepada syarat-syarat yang bakal diperhalusi.

Buat masa ini, katanya mandat penuh diberikan AMANAH kepada Anwar Ibrahim untuk memulakan perbincangan dengan semua pihak bagi membentuk kerajaan di bawah kepimpinan beliau, termasuk Ahli Parlimen UMNO.

Hakikatnya, jelas Khalid tiada kerjasama yang “tiada masalah”, kerana ianya di antara entiti-entiti yang bersendirian dan berbeza, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO.

“Oleh itu rundingan perlu untuk memungkinkan ianya berlaku dan syarat-syarat pasti akan dibincang dan ditetapkan bila tiba masanya.

“Mengikut kata-kata pujangga, “politics is the art of the possible” bererti politik adalah seni memungkinkan sesuatu berlaku. Tidak mengusahakan sesuatu atau menggagalkan sesuatu tidak perlu kepada seni mahupun kemahiran,”katanya.

Setelah menjelaskan pendirian AMANAH, Khalid ditanya pemberita bagaimana pula dengan pendirian DAP?

“Saya menyebut “tiada masalah” dengan maksud, sepertimana juga dengan AMANAH, DAP akan memerlukan perbincangan dan perundingan berhubung syarat-syarat kerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen Umno yang ingin menyokong DSAI.

“Dan seingat saya, selepas itu saya turut menambah “tetapi, perlu tanya DAP”. Akhirnya ianya terpulang kepada DAP sama ada mereka bersedia untuk berkerjasma dengan Ahli Parlimen UMNO atau sebaliknya,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button