BeritaPolitik

Kongres Nasional PKR jadi tumpuan, medan selesai ‘kemelut’

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Kongres Nasional PKR 2019, bermula esok di Melaka bakal menjadi tumpuan umum khususnya pemerhati politik, yang ingin melihat parti berbilang kaum terbesar negara ini menyelesaikan ‘kemelut’, lantas bergerak ke hadapan menjayakan agenda reformasi dalam Malaysia Baharu.

PKR, sejak akhir-akhir ini seolah-olah berhadapan isu kepimpinan, kali ini akan mendengar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar, pertama kali sebagai Presiden setelah dipilih tanpa bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan tahun lepas.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan dasar pada Sabtu, sekali gus merasmikan kongres tahunan parti dominan kerajaan Pakatan Harapan, yang akan dihadiri hampir 3,000 perwakilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Anwar, seorang pejuang gerakan reformasi negara, ‘pulang’ ke pangkuan parti yang diasaskannya sejak 1999 di Shah Alam apabila menyampaikan ucapan penangguhan sebagai presiden baharu PKR tahun lepas.

Kongres di MITC ini akan menyaksikan perasmian sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadlian (AMK) buat julung kali dilangsungkan pada tarikh berasingan dan memecah tradisi parti apabila dirasmikan oleh pemimpin berbeza.

Tidak seperti kelaziman sebelum ini, perasmian dua sayap dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden parti.

Kali ini, perasmian sayap Wanita akan dirasmikan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam esok di Dewan A, MITC manakala AMK oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat parti petang Jumaat di Dewan Klasik, MITC.

Ketua Penerangan Wanita Pusat, Syarul Ema Rena Abu Samah ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kehadiran Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres sayap itu, yang antara lain memberi tumpuan lebih holistik terhadap kepimpinan wanita serta wanita sebagai pemacu dalam ekonomi negara.

Melihat pekembangan mutakhir PKR, kongres nasional ke-14 itu diharap menjadi noktah kepada segala ‘pergeseran’ yang dikatakan melanda pemimpin utama parti iaitu Anwar dan Mohamed Azmin sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong dua pemimpin itu.

Rentetan pergeseran itu turut didakwa mencetuskan tindakan penyokong, yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin, merancang untuk mengadakan satu himpunan ala-kongres di ibu negara pada masa yang sama.

Usaha itu bagaimanapun tidak diiktiraf parti dan ditegaskan sendiri oleh Anwar dan Dr Wan Azizah yang menyatakan bahawa hanya ada satu kongres rasmi, iaitu yang diadakan di Melaka seperti diputuskan Majlis Pimpinan Pusat parti.

“Dengar desas-desus tapi saya tak layan. Yang penting, siapa pun boleh buat pertemuan, program kongres parti itu satu diputuskan oleh pimpinan (dibuat) di Melaka, yang lain itu tidak mewakili parti,” kata Anwar, sambil menegaskan sebarang pertemuan selain kongres itu tidak mewakili parti.

Sebelum ini, turut dilaporkan ada dakwaan sekumpulan pemimpin Pemuda PKR mahu usul undi tidak percaya terhadap presiden dilakukan pada kongres di Melaka, susulan keputusan parti memecat beberapa ahli baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan tiada sebarang permintaan usul undi tidak percaya terhadap presiden dikemukakan kepada peringkat jawatankuasa kongres.

Anggota parti khususnya peringkat akar umbi pastinya mengharapkan pentas Kongres Nasional PKR 2019 menjadi medan penyelesaian permasalahan yang timbul, lantas mencapai resolusi yang mengukuhkan parti sebagai tunjang kerajaan PH dan memantapkan pentadbiran negara.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button