Anwar Ibrahim dipanggil ke Bukit Aman esok
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, arahan tersebut dikeluarkan selepas melakukan siasatan terhadap penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.
“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebaar luas di media massa hingga kini. Malah, sebanyak 113 laporan polis juga telah diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Huzir, orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan apa-apa kenyataan atau khabar angin yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan perpecahan yang menggugat ketenteraman awam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris membuat laporan polis terhadap Anwar kerana didakwa menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokong Presiden PKR membentuk kerajaan baharu.
Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) membuat laporan itu di Balai Polis Jerantut pada 8 Oktober lalu.
Katanya, dakwaan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali, kerana Anwar atau wakilnya tidak pernah berjumpa beliau membincangkan perkara itu.
Beliau menafikan pernah menanda tangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.
“Jika dia mendakwa saya menyokong beliau, itu satu pembohongan besar. Saya berdiri teguh dan menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan berpaling tadah,” katanya. -SM