Nasional

Covid-19: 1 Utama sangkal laporan 63 kes positif

TIDAK benar! Pihak pengurusan kompleks beli belah 1 Utama menyangkal laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JPBD) bahawa pusat beli-belah itu merekodkan 63 kes Covid-19.

“Kami mahu menjelaskan bahawa 1 Utama tidak mempunyai 63 kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata pihak pengurusan itu lagi, adalah mengelirukan untuk menyimpulkan bahawa semua kes yang dinyatakan dalam laporan mereka datang dari 1 Utama kerana tiada kes indeks yang dikenal pasti di 1 Utama.

Semalam, JPBD Petaling berkata, terdapat 63 kes positif di bawah kluster 1 Utama yang terdiri daripada anggota pengurusan pusat beli-belah, 15 pekerja, tiga pelawat dan 44 pengawal keselamatan.

Pihak pengurusan 1 Utama berkata lagi, ujian saringan dibuat ke atas 6,000 kakitangan pusat beli-belah dan staf penyewa mendapati hanya 21 kes positif Covid-19.

“21 individu itu dikuarantin dengan segera oleh Kementerian Kesihatan bagi mencegah dan meminimumkan potensi penyebaran,” jelasnya.

Kompleks beli belah itu menambah, pihaknya melakukan ujian saringan untuk mengenal pasti kemungkinan kes positif melibatkan kakitangan dengan segera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat oleh kementerian.

44 pengawal keselamatan yang disahkan positif bukan sebahagian daripada pemeriksaan Covid-19 percuma yang dibuat pada 11 Oktober lalu dan bukan dari kompleks tersebut, tegasnya.

“Mereka adalah pengawal kontrak daripada penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang dijangkiti Covid-19 di asrama, bukannya di premis kami.

“Pada awalnya, apabila kami diberitahu oleh Kementerian Kesihatan mengenai seorang pengawal yang positif melalui pengesanan mereka, kami mengeluarkan semua pengawal di bawah syarikat yang sama untuk diuji semula dan hanya akan mengerahkan semula selepas dilepaskan. Semua pengawal diuji ketika mereka mula-mula bertugas ,” katanya lagi.

Justeru katanya, adalah tidak tepat untuk mengatakan terdapat 63 kes Covid-19 dari 1 Utama.

“Kami berharap pembetulan dan penjelasan ini memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan semasa,” katanya.

1 Utama ditutup selama 14 hari bermula 11 Oktober lalu selepas terdapat empat kes positif Covid-19 dikesan. – SM

 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button