Politik

UMNO sokong Anwar Ibrahim – itu pandangan peribadi Tajuddin

BEBERAPA ahli UMNO menyatakan, kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mempunyai formula yang dapat membahagikan semua parti terlibat adalah pandangan peribadi beliau.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenyataan Tajuddin itu adalah pandangan peribadi beliau.

“Saya enggan mengulas lanjut,” kata Khaled.

Sementara itu, veteran UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Tajuddin bebas menyuarakan dan menyatakan pandangan peribadinya.

“Lebih baik bagi UMNO membincangkan tuntutannya dengan Perdana Menteri terlebih dahulu,” kata Shahidan.

Katanya lagi, jika kita mahu rombakan Kabinet atau lain-lain, lebih baik kita bincang dengan Perdana Menteri terlebih dahulu.

Ini kerana, ujar beliau, bekerja dengan Anwar Ibrahim sama seperti bekerja dengan DAP.

“Kami tidak mahu bekerjasama dengan DAP,” tegas beliau.

Ahli MT UMNO, Razlan Rafii berkata, kerjasama dengan Anwar tidak dibincangkan dalam mesyuarat tertutup pemimpin parti malam tadi.

Beliau berkata, beberapa pandangan dikongsi dalam kalangan ahli UMNO termasuk kemungkinan tidak berada dalam Kabinet tetapi terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Kami mungkin tidak mendesak pilihan raya kilat diadakan selepas peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdam berkata, beliau menentang idea itu.

“Mana mungkin kita menjustifikasikan tiba-tiba beralih sokongan terhadap lawan tradisi kita semata-mata kurang puas hati dengan rakan sekarang, PPBM.

“Apa akan jadi terhadap kredibiliti parti di mata rakyat? Kita akan lihat, apa akan berlaku bila Majlis Kerja Tertinggi UMNO bermesyuarat,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin menyatakan, tidak mustahil UMNO memberikan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Tajuddin juga berkata, tidak mustahil parti lain turut memberikan sokongan kepada Anwar sekiranya pemimpin itu boleh memberikan apa yang parti mahukan.

Semalam, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar mendakwa, beliau mendapat sokongan 120 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

UMNO turut menyatakan, parti itu mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) semalam. – SUMBER FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button