Bola SepakSukan

Messi buat pusingan-U, hampir 90 peratus kekal di Barcelona

LIONEL Messi semakin hampir mengakui dia kini kecundang dalam peperangannya meninggalkan Barcelona bagi menyertai Manchester City, menurut laporan TyC Sports di Argentina.

Barcelona meminta bapa Messi, Jorge membantu memujuk anaknya menimbangkan semula hasrat untuk meninggalkan kelab itu, dalam pertemuan yang berlangsung selama 90 minit dengan presiden Nou Camp, Josep Bartomeu, pada malam Rabu (awal pagi ini waktu Malaysia).

Dengan kedua-dua belah pihak kelihatannya tidak bersedia untuk saling beralah dan mereka masih menemui jalan buntu, tetapi mesej telahpun disampaikan kepada kapten Barcelona itu dan dia difahamkan akan mempertimbangkan pilihannya pada Khamis.

Beberapa media di Argentina sebelum ini melaporkan Messi telahpun menghantar kiriman kurier kepada Barcelona bagi memohon perpindahan secara percuma, tetapi perkembangan terbaru bakal menyaksikan pemain itu 90 peratus akan kekal di Catalan.

Messi akan menunggu sehingga Jun 2021, selepas dia mengakui tewas kepada peperangan bagi membuktikan tarikh akhir untuknya meninggalkan kelab secara percuma sepatutnya dipanjangkan ekoran pandemik yang menyebabkan musim berakhir lewat.

Perkembangan terbaru hadir selepas Jorge Messi tiba di Barcelona dari Argentina, semalam, dan berkata, amat sukar untuk anaknya kekal di Barcelona.

Jorge ditanya oleh Cuatro Deportes di Sepanyol: “Bagaimana anda melihat situasi?”.

Apabila dia menjawab ‘sukar’, Jorge ditanya lagi: “Sukar untuknya kekal? dan jawapannya: “Ya”.

Ketika ditanya sama ada Manchester City merupakan pilihan terbaik, Jorge berkata: “Saya tidak tahu. Masih tiada apa-apa yang berlaku.”

Apabila diajukan pertanyaan tentang Guardiola yang memaklum kepadanya lebih baik Messi kekal bersama Barcelona, Jorge menjelaskan: “Saya tidak bercakap dengan Pep. Saya tidak menghubungi sesiapapun.”

Ditanya lagi: “Bagaimana anda melihat masa depan Messi di Barcelona?.” Jorge menjawab: “Sukar, sukar.”

Bagaimanapun, Barcelona tetap bertegas pada pertemuan itu. Sebelum rundingan dilakukan, Bartomeu secara ringkas berkata kepada pemberita, kelab akan membuat laporan terhadap Messi dan Manchester City jika dia tetap berpindah ke Etihad tanpa membayar klausa pelepasannya yang bernilai 630 juta pound (RM3.48 billion).

Hakikatnya, Presiden Barcelona itu hadir pada pertemuan tersebut tanpa peguam turut dilihat sebagai petunjuk bahawa kelab berasakan kedudukan mereka lebih kukuh berbanding Messi.

Barcelona tidak mempunyai sesi latihan, pada Khamis, jadi Messi memiliki masa sehari untuk memikirkan kembali kedudukannya sebelum latihan disambung, Jumaat ini. – Daily Mail UK – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button