Nasional

Empat kluster Covid-19 rekod pertambahan kes

SEBANYAK  14 kes baharu Covid-19 telah dilaporkan hari ini yang turut melibatkan Kluster Benteng, Kluster Tawar, Kluster Bunga dan Kluster Telaga.

Kes melibatkan Kluster Benteng di Sabah bertambah enam kes menjadikan jumlah kes positif kluster tersebut meningkat kepada 14 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam kes baharu yang dilaporkan hari itu telah dikesan di Penjara Tawau.

“Empat daripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

“Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos 2020 dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di Penjara Tawau. Kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau,” kata Dr. Noor Hisham.

Dua daripada mereka merupakan warga Malaysia sementara empat lagi bukan warga negara.

Sehingga hari ini seramai 336 orang telah disaring. Daripada jumlah tersebut 14 kes dikesan positif COVID-19; 123 individu negatif dan 199 individu masih menunggu keputusan.

Sementara jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 121 orang banduan; 83 orang kakitangan penjara; 68 orang ahli keluarga kakitangan dan banduan; 61 anggota polis dan 3 orang pegawai agensi kerajaan yang lain.

Bagi Kluster Tawar di Kedah terdapat tiga kes baharu dilaporkan melibatkan warganegara Malaysia. Dua kes tersebut dikesan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.  Justeru, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 78 kes.

Manakala terdapat dua kes baharu dilaporkan bagi Kluster Bunga di Negeri Sembilan menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak enam kes. Sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 55 orang telah disaring dalam kluster ini.

Terdapat satu  kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah yang menjadikan keseluruhan positif dalam kluster ini sebanyak tujuh kes.  -SM

 

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button