Maguire mungkin bayar denda elak penjara
HARRY Maguire hadir ke Mahkamah Greece semalam dengan memakai topeng muka dan bintang Manchester United itu bakal berdepan hukuman penjara tiga tahun namun pemain antarabangsa England itu bersedia untuk terbang pulang ke England selepas dua malam ditahan didalam lokap dan dia juga dimaklumkan dapat mengelak daripada hukuman penjara dengan membayar 90,000 pound (RM491,967) kurang daripada separuh gaji mingguannya.
Maguire, 27, tampil ke mahkamah di Syros setelah terbabit dalam pergaduhan di pulau Mykonos. Kapten Manchester United itu dan dua lagi warga Britain berusia 28 dan 29 tahun, mengaku tidak bersalah di atas ke semua tuduhan selepas diajukan pelbagai persoalan oleh pendakwaraya hampir dua jam.
Jika dia didapati bersalah, Maguire akan membayar denda harian bagi mengelak dipenjara di bawah skim untuk mengatasi kesesakan penjara di Greece.
Denda harian tersebut yang melibatkan hukuman penjara selama lebih tiga tahun itu bernilai 90,000 pound seminggu, dan Maguire memiliki pendapatan 190,000 pound (RM1.03 juta) seminggu.
Bagaimanapun, berhubung laporan mengenai adik perempuannya Daisy, 20, telah diserang dengan senjata tajam sewaktu pergaduhan itu berlaku pada malam Khamis tersebut, masih belum dapat disahkan.
Maguire juga didakwa telah diejek peminat kelab bola sepak lawan tentang tragedi kemalangan nahas udara di Munich pada 1958 yang meragut nyawa 23 pemain, staf dan anak kapal.
Dakwaan terhadap Maguire tidak jelas, tetapi polis berkata, fail tuduhan itu membabitkan kekasaran ke atas pegawai polis, ingkar kepada amaran, mencederakan orang lain, menghina dan cubaan merasuah.
Terdapat juga beberapa laporan berhubung kes rasuah yang telah ditarik balik, walaupun sumber polis menafikan dakwaan itu.
Difahamkan Maguire tidak perlu hadir ke mahkamah untuk pendengaran akan datang, dan dia dibebaskan untuk pulang ke tanah air dengan menaiki jet peribadi.
Peguam Greece, Panagiotis Petropoulos yang merupakan Naib Presiden Persatuan Peguam Piraeus, memberitahu Sunday Mirror: “Secara teori, hukuman maksimum penjara selama tujuh tahun setengah boleh dikenakan ke atas tertuduh.
“Bagaimanapun, hukuman penjara keseluruhan mungkin hanya melibatkan selama tiga tahun kerana mahkamah akan menjatuhkan hukum secara serentak.
“Bagaimanapun, dalam sistem penal Greece sebarang hukuman selama tiga tahun boleh dibayar secara harian, dan ini bermakna Maguire boleh membayar denda tersebut bagi mengelak sebarang hukuman penjara.”
Sementara itu, sumber berkata, insiden itu berlaku selepas adik perempuan Maguire ditikam. Sumber itu menambah: “Harry telah memaklumkan kepada polis yang dia hanya cuba melindungi adiknya.
“Dia berasa dirinya menjadi sasaran oleh satu kumpulan lain yang menghinanya dengan kata-kata cacian, termasuk tentang nahas udara di Munich.
“Maguire benar-benar bergelut dengan masalah psikologi pada ketika ini. Dia memiliki perwatakan yang tegas, tetapi tidak menyangka percutiannya bertukar jadi begini.” – Mirror UK – SM