Politik

Bersatu akan bincang pelantikan Azmin sebagai naib presiden

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal membincangkan mengenai pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai seorang daripada naib presiden parti, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang akan diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara dalam usaha untuk memperkukuhkan parti.
“Kita akan bincang perkara itu (pelantikan Mohamed Azmin) dalam EGM yang kita rasakan sesuai diadakan bersekali dengan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (nanti),” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di pekan Slim River di sini, hari ini.
Turut hadir Mohamed Azmin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Ahmad Faizal berkata demikian semasa ditanya mengenai kedudukan Mohamed Azmin yang menyertai Bersatu semalam, dikatakan akan dilantik sebagai naib presiden parti.
Ketika ini, Bersatu mempunyai tiga Naib Presiden yang dipilih iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Ahmad Faizal berkata EGM itu juga akan membincangkan mengenai pindaan perlembagaan parti dalam usaha untuk menarik lebih ramai ahli bukan Melayu dan Bumiputera menyertai Bersatu.
Ditanya mengenai pemilihannya sebagai timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
“Saya kira bernasib baik kerana ada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang amat disegani ahli dan rakyat …saya juga ada banyak “abang”, pemimpin (berpengalaman dalam parti) yang boleh beri nasihat,” katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas isu yang dipermainkan pembangkang selepas beliau mengaku anak angkat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Faizal berkata beliau banyak terhutang budi kepada bekas perdana menteri itu termasuk daripada segi didikan dalam dunia politik.
“Perasaan saya sampai sekarang saya anggap ayahanda Tun (Dr Mahathir) seperti bapa saya …saya tetap sayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun tidak lagi bersamanya sekarang,” katanya sambil berterima kasih kepada Dr Mahathir.
Mengenai PRK DUN Slim, Ahmad Faizal berkata jentera Bersatu ikhlas dan komited dalam bekerja membantu Barisan Nasional (BN) dan calonnya Mohd Zaidi Aziz memperoleh kemenangan.
Mengulas perkara sama, Saifuddin berkata calon BN mempunyai peluang cerah hasil sokongan daripada akar umbi yang sentiasa bersama-sama sepanjang tempoh kempen.
“Mungkin ada perkara-perkara yang masih belum diselesaikan (oleh kerajaan negeri), tapi saya lihat untuk jangka panjang, (kerajaan) Perikatan Nasional memang formula yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Pengundian PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini.-BERNAMA
(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button