Jangan perlekeh, hina sistem perundangan serta institusi kehakiman negara
Wanita UMNO mengingatkan pihak tertentu terutama parti politik jangan terus menerus memperlekehkan dan menghina sistem perundangan serta institusi kehakiman negara, sebagai institusi bebas dan berintegriti.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, parti politik dan rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti mana termaktub dalam Prinsip Rukun Negara.
“Sistem perundangan dan badan kehakiman umpama injap keselamatan yang tanpanya demokrasi tidak dapat berkembang.
“Atas landasan itu, ia harus dilindungi, integriti dan keupayaannya harus dihargai dan tindakan menghormati keputusan mahkamah harus dipertahankan.
“Jangan sewenang-wenang menghina sistem yang telah lama kita laksanakan dan Wanita UMNO Malaysia akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip di bawah Rukun Negara,” katanya.
Beliau menegaskan tidak ada pilih kasih dalam proses keadilan dan tidak ada perbezaan antara rakyat dan mereka yang berdepan dengan dakwaan pihak berkuasa seperti kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa lagi atas pertuduhan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion serta satu lagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang turut membabitkan isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon di Mahkamah Seyen, Pulau Pinang.
“Jangan kita menjadi sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Saya selaku Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan tidak ada tempat di negara ini untuk mereka yang biadap dan tidak menghormati Rukun Negara,” katanya.