LIVERPOOL hari ini mengesahkan telah menandatangani bek kiri, Kostas Tsimikas dari Olympiacos dengan harga £11.7 juta (RM64.4 juta) menerusi perjanjian jangka panjang.
Pemain antarabangsa Greece berusia 24 tahun itu yang memiliki tiga cap bersama skuad kebangsaan negaranya menyertai juara Liga Perdana Inggeris itu selepas menandatangani kontrak di pusat pangkalan latihan Liverpool dekat Melwood.
Tsimikas melakukan penampilan sulung bersama kelabnya, Olympiacos pada Disember 2015 dan menyempurnakan 86 penampilan bersama kelab Greece tersebut.
“Saya sangat gembira dan berbangga berada di sini. Bagi saya Liverpool adalah kelab terbesar di dunia. Ia satu penghormatan dapat berada di sini dan saya akan memberikan yang terbaik.
“Saya amat gemarkan liga di sini. Saya sering menonton perlawanan menerusi televisyen dan ia merupakan impian saya sejak kecil lagi untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan ternyata impian itu menjadi satu kenyataan.
“Dengan kerja keras dalam latihan serta fokus terhadap tugas dan berusaha memberikan apa yang jurulatih mahukan, saya mampu meningkatkan tahap permainan pada tahap yang tertinggi.
“Saya mahu mencapai sasaran yang diletakkan. Memenangi liga sekali lagi dan turut menjuarai Liga Juara-Juara,” katanya kepada Liverpoolfc.com.
Tsimikas bakal menyarung jersi No. 21 di Anfield dan bos Reds, Jurgen Klopp percaya rekrut terbarunya itu bakal menawarkan persaingan sihat dengan bintang bek kiri, Andy Robertson.
“Kami telah lama memantau perkembangan Kostas dan sangat gembira dia menyertai kami. Ini satu berita gembira sebelum kami kembali memulakan sesi latihan tidak lama lagi.
“Dia seorang pemain bola sepak yang sangat bagus dengan sikap sentiasa mahukan kemenangan dan bersedia untuk bersaing, saya benar-benar sukakan mentalitinya.
“Sikapnya itu sangat serasi dengan semangat juang tinggi yang kami miliki ketika berada dalam bilik persalinan.
“Kostas sendiri sudahpun merasai pengalaman bersaing di peringkat domestik dan juga Liga Juara-Juara. Cita-cita besarnya itu sama seperti kami.
“Di atas alasan itu, kami gembira apabila mengetahui dia kini bersama kami untuk satu tempoh yang panjang. Saya amat berpuas hati,” kata pengurus Liverpool itu kepada laman web kelab. – SM