Nasional

Tun M harap kerajaan bangunkan Bukit Malut

https://youtu.be/xWJ7PVLiSZg

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap kerajaan meneruskan pembangunan kawasan Bukit Malut sebagai dirancang oleh kerajaan sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu yang melakukan tinjauan ke kawasan itu berkata, kawasan berkenaan didiami penduduk dari Myanmar sejak puluhan tahun yang lalu.

Jumlah mereka semakin meningkat, katanya.

Bagaimanapun ujar beliau, kawasan berkenaan tidak sesuai untuk penempatan kerana ia adalah kawasan pantai.

Kawasan penempatan haram Bukit Malut semakin membesar apabila lebih banyak rumah dibina dan tapak baharu diteroka tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jika sebelum ini, kebanyakan rumah penduduk dilihat dibina di kawasan rizab hutan paya bakau, tetapi kini mereka semakin berani apabila menarah kawasan lereng bukit sehingga menghampiri jalan utama.

Kegiatan meratakan hutan lereng bukit itu didakwa dilakukan pihak tertentu untuk menjualnya kepada warga asing yang berminat membina rumah baharu yang turut dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Penempatan yang terletak kurang 20 kilometer dari pekan Kuah itu, mendapati wujud pertambahan bilangan rumah yang dibina secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) itu.

Dianggarkan ketika ini, ada kira-kira 1,000 rumah dibina di kawasan merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang ketika ini, berbanding hanya kira-kira 800 rumah tahun lalu.

Terdapat dua bangunan komersial rumah kedai tiga tingkat sedang dibina di jalan masuk utama ke Bukit Malut.

Media melaporkan berdasarkan kerja pembinaan yang giat dilakukan, berkemungkinan bangunan yang menempatkan empat hingga lima pintu rumah kedai itu dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pembinaan bangunan berkenaan dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa berikutan ketiadaan papan tanda tapak projek selain pekerjanya tidak mematuhi aspek keselamatan ditetapkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button