Ekonomi

Gading Kencana labur RM150 juta bina ladang solar ke-3 di Perak

SYARIKAT penyedia perkhidmatan tenaga solar terbesar di Malaysia, Gading Kencana Development Sdn. Bhd. (Gading Kencana) akan memulakan projek pembinaan ladang solar ketiganya di Perak tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng, projek ladang solar berkapasiti 30 megawatt (MW) dengan pelaburan RM150 juta itu akan bermula tidak lama dan akan siap Disember tahun depan.

Guntor berkata, ladang solar ketiga itu terletak kira-kira 6 kilometer dari tapak ladang solar berskala besar syarikat itu di Batang Padang, Bidor yang juga berkapasiti 30 MW.

Guntor Tobeng

“Kebetulan kita sudah ada di situ. Kita ada tanah bekas lombong yang sesuai untuk dibangunkan sebagai ladang solar. Falsafah kita ialah kita ingin bangunkan ladang solar ini menggunakan tanah yang tidak ada nilai. Kita tambah nilai pada tanah yang tidak ada nilai.

“Jadi dengan cara itu pihak berkuasa tempatan dapat menjana cukai taksiran dengan lebih tinggi. Pejabat tanah pun kita boleh bayar cukai yang tinggi sebab semua itu telah kita ambil kira dalam model kewangan yang kita kemukakan kepada Kementerian Tenaga,” kata Guntor.

Guntor ditemui selepas majlis pertukaran dokumen komitmen pelaburan di Perak antara Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Seri Jebasingam Issace John dengan tujuh syarikat swasta termasuk Gading Kencana yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Guntor, projek solar ketiga itu bakal membuka peluang pekerjaan kepada 400 orang anak tempatan.

“Yang dulu juga 400 orang. Jadi yang ini pun kita akan ambil 400 orang dalam pembinaan projek ladanng solar ini.

“Selepas projek ladang solar ini siap kita akan ambil lagi dalam 40 orang. Mereka ini mempunyai kemahiran tinggi dengan gaji yang tinggi. Mereka akan guna kemahiran komputer, teknologi maklumat, IR 4.0, scada dan teknologi solar yang perlu dipertingkatkan keberkesanan supaya kita dapat menjamin jumlah sinaran matahari yang terbaik dalam negara,” katanya kepada Suara Merdeka.

Ladang solar pertama Gading Kencana di Perak.

Menurut Guntor, Perak menjadi negeri pilihan untuk Gading Kencana melabur kerana Kerajaan Negeri mempunyai sistem yang memudahkan syarikat swasta untuk melabur.

“Bila kita bangunkan projek ladang solar berskala besar pertama di Perak, kita dapati kerajaan negeri mempunyai satu sistem yang kemas cekap dan effisyen untuk meluluskan kebenaran merancang dengan pantas. Itu banyak membantu kita untuk ladang solar pertama di Bidor.

“Pihak Menteri Besar Perak pun membantu dan paling kuat sekali NCIA lah. NCIA  banyak memberi peranan sebagai fasilitator untuk memastikan segala proses-proses pengurusan permit itu dapat dalam masa yang ditetapkan,” kata Guntor.

Selain di Perak, Gading Kencana turut mempunyai ladang solar berkapasiti 11.5 juta kilowatt sejam (kW) di Melaka.

Majlis pertukaran dokumen komitmen pelaburan di antara NCIA dan tujuh syarikat swasta menyaksikan jumlah pelaburan baru bernilai RM1 bilion di Perak untuk tahun ini.

Menurut Ahmad Faizal, komitmen pelaburan tersebut merupakan satu permulaan yang baik untuk negeri Perak selepas seluruh dunia dilanda virus Covid-19 yang menyaksikan beratus ribu orang kehilangan kerja di Malaysia.

“Dalam pandemik Covid-19 ini alhamdullilah dengan usaha semua pihak pelabur masih lagi yakin untuk melabur di dalam negeri Perak ini. Semua syarikat, semua individu di seluruh negara terkesan dengan Covid-19.

“Tetapi setiap syarikat yang melabur hari ini tentunya mempunyai perancangan jangka masa panjang dan mereka lihat potensi negeri Perak bagaimana boleh membantu mereka memperbesarkan perniagaan mereka,” kata Ahmad Faizal.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button