Belang Bertempat

Iktiraf UEC: Rakyat Malaysia akan ‘terbelah, terbahagi’

SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah isu besar nasional yang berupaya merosakkan dasar pendidikan tinggi negara.

Ia remeh dan tak perlu diutamakan? Tidak, bukan begitu.

Isu EUC ini jika tidak dinilai dan diolah secara bersepadu, rakyat dan negara akan terus terbelah dan berpecah melalui dasar dan arus pendidikan nasional.

Nadi kebangsaan kita akan terhenti. Nadi majmuk tanpa hala akan muncul menodai sistem pendidikan kita yang kini pun sudah semacam cacamarba dan tak tentu hala.

Daripada hujah dan alasan konkrit, pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan tidak dapat menerima pengiktirafan UEC.

Pertama, UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh badan persendirian yang tidak jelas kurikulumnya, latihan gurunya, kaedah pengajarannya dan mutu peperiksaannya.

Kedua, pengiktirafan UEC akan mewujudkan sijil substandard di negara ini yang mencacatkan mutu penaksiran dan penilaian dan mutu pendidikan negara yang dikendalikan oleh badan berwibawa, iaitu Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Ketiga, UEC dikendalikan oleh badan yang sejarah awalnya berkiblat ke Taiwan dan hingga kini tidak jelas adakah sistem, kurikulum, latihan guru, buku teks dan lain-lain selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

Keempat, pengiktirafan UEC mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan, kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan yang menurut acuan kenegaraan dalam hal kurikulum, latihan guru, buku teks, peperiksaan dan yang lain.

Yang terpenting, keadilan dari segi justifikasi pengiktirafan UEC harus ditimbangtara. Bagi mereka yang hendak memasuki institusi pengajian tinggi ditetapkan lima perolehan subjek cemerlang.

Mereka yang lulus UEC, di luar sistem, hanya perlu peroleh dua matapelajaran cemerlang termasuk bahasa Melayu.

Bagaimana halnya dengan ratusan ribu anak-anak Malaysia kita yang sudah melengkapkan diri dengan perolehan lima kredit matapelajaran selama ini? Tiba-tiba sekian puluh ribu pemegang UEC dengan kredit bahasa Melayu dan satu lagi subjek lain tiba-tiba boleh memasuki institusi pengajian tinggi tanah air?

Yang akan terjadi ialah anak-anak Malaysia yang mengikuti arus perdana sama tarafnya dengan mereka yang baru mula muncul dengan dua kredit yang baharu? Adilkah?

Asas-asas pendidikan yang menzahirkan sijil UEC berbeza dan berlainan daripada pendidikan serta arus perdana yang dikendalikan oleh pendidikan nasional. Menyamaratakan dua sistem ini mesti dilakukan terlebih dahulu.

Jika tidak, murid-murid dari arus perdana lepas ini akan mengalami kesukaran lantaran disaingi ‘pendatang baharu’ yang menggenggam UEC. Lama-lama sistem kebangsaan akan jadi ibarat tali gasing: tebal di pangkal, jirus di hujung.

Lama kelamaan anak Malaysia akan lebih ramai berduyun-duyun masuk arus UEC. Arus perdana atau sistem pendidikan nasional akan jadi lemah longlai tanpa tulang belakang.

Pendidikan arus perdana mesti dikukuhkan. Guru-guru hebat mesti dilengkapkan dengan insentif yang menggalakkan. Sistem luaran seperti UEC wajib melalui proses sulingan terlebih dahulu.

Kita ucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan.

Kita seru dan mohon Kementerian Pendidikan supaya terus perkasakan pendidikan kebangsaan dahulu dengan kecemerlangan dan budaya tinggi.

Dengan simpang-perenangnya sistem persijilan begini, rakyat akan terus terbelah dan terbahagi.

Bila rosak dasar dan sistem pendidikan akan rosaklah rakyat dan negara.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button