Politik

Guang Eng, menteri DAP tak mampu lakukan sesuatu yang rugikan orang Melayu

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan menteri-menteri dari DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu melakukan sesuatu yang boleh merugikan orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui Guan Eng seorang yang bijak tetapi itu tidak bermakna beliau akan menggunakan kebijaksaan itu untuk melakukan perkara yang merugikan orang Melayu.

Lagi pula kata Ahli Parlimen Langkawi itu, ketika pentadbiran PH, DAP hanya ada enam menteri dan yang lain ada 22 menteri.

Jadi katanya, tidak mungkin 22 menteri akan tunduk kepada enam menteri.

Itu semua kata beliau, hanyalah momokan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk takutkan orang Melayu bagi menjatuhkan kerajaan PH.

“Ya memang dia (Lim) bijak, tapi dia tak boleh lakukan sesuatu yang tak dipersetujui oleh kita.

“Patut kita sedar bahawa ini usaha Najib untuk takutkan orang Melayu supaya dia dapat jatuhkan Pakatan Harapan (PH).

“DAP ada enam menteri. Kita ada 22 menteri. Dan tak mungkin 22 menteri ini tunduk pada enam menteri,” kata Dr. Mahathir seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Dr. Mahathier berkata demikian dalam program yang digelar Blackout Bersatu Dengan Dr Mahathir Mohamad bertajuk Tun..Kenapa & Mengapa di Kedah semalam.

Itu merupakan siri jelajah untuk menjelaskan isu mengenai Bersatu.

Menurut Dr. Mahathir, Najib telah bekerja keras bagi meyakinkan orang Melayu bahawa DAP akan menghancurkan mereka.

“Dia (Najib) menakutkan orang Melayu. Kononnya dalam kerajaan ada DAP. Kononnya, DAP akan hancurkan melayu.

“Mereka kata kita mesti singkirkan DAP, kerana DAP menguasai PH. Tak benar. Mereka tak menguasai,” katanya.

Najib juga kata beliau, telah meyakinkan beberapa menteri dan pemimpin Bersatu untuk meninggalkan PH bagi  membentuk kerajaan dengan UMNO dan Pas.

“Malangnya, dalam parti kita (Bersatu) ada yang nampak peluang nak jadi perdana menteri.

“Dengan perpisahan ini, kita jadi parti yang berpecah, bukan bersatu lagi,” katanya. – SM

 

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button