Tun Mahathir 95 tahun esok…berdamailah Tun demi tanah air ini
ESOK 10 Julai 2020 genap 95 tahun usia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT kerana dipanjangkan umur bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada tanah air ini.
Apabila Belang meninjau-ninjau merata pelosok dunia harap-harap ada pemimpin seusia Tun Mahathir yang masih aktif dalam politik negara mereka, Belang tidak ketemunya.
Ada satu dua orang yang Belang terjumpa di google. Antaranya pemimpin dari tanah Arab (Kuwait dan Arab Saudi).
Beji Caid Essebsi, ketua negara atau Presiden Tunisia yang pertama dipilih secara demokrasi pula meninggal dunia pada usia 92 tahun tahun lepas.
Kalau ada pun yang menyamai usia Tun Mahathir ialah Ratu Elizabeth II – pemimpin wanita paling lama di dunia, Ratu United Kingdom dan 150 negara lain – yang kurang setahun, baru menyambut 94 tahun 21 April lalu.
Namun mereka ini Belang anggap masih tidak mampu mengatasi kehebatan Tun yang terkenal dalam kalangan dunia Islam dan Barat.
Ini terutama suatu ketika memperjuangkan umat Islam di Palestin, Bosnia Herzegovina (semasa Perang Balkan tahun 90-an), mengkritik Islamophobia dan militer Barat dan banyak isu kemanusiaan diperjuangkan Malaysia semasa era Tun sebagai Perdana Menteri keempat (1981 – 2003).
Begitupun, sayang sekali masa, tempat dak keadaan tidak memihak kepada Tun hari ini. Tun Mahathir dikatakan banyak pihak terutama sebahagian orang Melayu sudah `tersadung’ di era memikul tanggungjawab Perdana Menteri ketujuh (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020).
Puncanya, dakwa mereka, kerana Tun `berkawan dengan DAP’. Belang tak mahu pergi jauh bab ini kerana semua faham-fahamlah dan pemerhati politik pun maklum apa yang terjadi semasa pentadbiran Tun dengan politik Pakatan (PH) Harapan cacamarba. Akibatnya, kerajaan PH cuma bertahan 22 bulan sahaja.
Dan dalam usia 95 tahun esok, ramai berharap Tun Mahathir dapat berdamai dengan pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan hari ini, khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Orang Melayu khususnya telah melalui episod 22 bulan kerajaan sebelum ini memerintah. Barangkali mereka
tersalah pilih ketika itu di sebalik `isu-isu penyelewengan dan rasuah heboh diperkatakan’.
Pada masa sama, orang Melayu amat mendambakan kerajaan yang memikirkan `perut rakyat’. Bukannya para pemimpin yang hanya asyik mahu berkuasa sahaja serta memikirkan jawatan PM sahaja.
Bak kata pepatah Barat, A people deserves the Government it gets. Atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”. Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik. Tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk.
Dan inilah dikatakan politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam.
Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Maka, selaku orang yang kaya pengalaman dan masak sepak terajang politik, alangkah elok kiranya Tun Mahathir yang pernah bergelar negarawan menggerakkan iniasiatif penyatuan Melayu sejajar dengan penguasaan dalam segala sumbernya.
Tun! kita orang Melayu sudah tidak ada apapun di `Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai kaum lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum kaum itu jua lah.
Yang kita orang Melayu ada kini, itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula dirampas pihak sebelah sana. Berdamailah.
Kita orang Melayu boleh bayangkan alangkah indahnya Dr. Mahathir boleh duduk semeja memuktamadkan penyatuan Melayu bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain. Ia khususnya dengan Muhyiddin, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin-pemimpin kanan Melayu dari UMNO, Pas dan NGO yang lain.
Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Mujahid Yusof, Khalid Samad nak sertai sama pun, lagilah dialu-alukan.
Orang Melayu! selamilah ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi.
Sewajarnya ia menjadi panduan anak bangsa mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka kira-kira 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).
“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…” – SM