Dylea tular kerana lagu Madah Berhelah
MENDAPAT hampir tiga juta tontonan di YouTube selepas videonya menyanyikan lagu Madah Berhelah yang dirakam rakannya tular.
Sejak daripada itu, Dylea mula mendapat perhatian syarikat rakaman tetapi enggan menerima sebarang tawaran semata-mata kerana tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
Namun, selepas lima tahun, barulah Dylea atau nama sebenarnya Noradilah Jamaludin, 24, membuka hatinya untuk bergelar seorang penyanyi.
“Kira-kira lima tahun yang lalu, memang ramai yang menghubungi saya dan memberikan peluang untuk menjadi artis rakaman serta menawarkan pelbagai jenis lagu dan beberapa tawaran istimewa yang lain.
“Tapi saya tak mahu gopoh dalam hal begini. Nak menjadi penyanyi bukan boleh main-main dan saya perlu asah bakat terutama aspek vokal memandangkan saya tiada asas,” katanya.
Ramai yang menganggap Dylea sepatutnya masuk ke industri seni lebih awal iaitu ketika videonya tular.
Namun bagi anak kelahiran Negeri Sembilan ini, dia percaya pada rezeki dan sedikitpun tidak terkilan dengan keputusannya sebelum ini.
“Saya pernah dirisik oleh beberapa syarikat rakaman sebelum ini namun semuanya belum berezeki. Jadi apabila ada yang kembali memberikan peluang dan percaya kepada bakat diri ini, ini peluang terbaik yang tidak boleh dilepaskan.
“Atas dorongan dan keyakinan beberapa pihak, saya memberanikan diri untuk menerjah industri seni dengan lagu ini. Besar harapan agar lagu ini diterima baik oleh semua,” katanya.
Dylea kini bernaung di bawah Family Tree Media Sdn. Bhd. dan muncul dengan lagu Untuk Aku yang ditulis Intan Saharudin serta melodi oleh Zamzoy dan Sheikh Qalam. -SM