Ekonomi

PNB umum terima peletakan jawatan Jalil sebagai CEO, Presiden

LEMBAGA Pengarah Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan menerima peletakan jawatan Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa hari ini.

Lembaga Pengarah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu juga telah meluluskan pelantikan pengganti dan pengumuman akan dibuat setelah menerima kelulusan yang diperlukan.

Jalil 38, dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd yang baharu pada 1 Oktober 2019 ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau  menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang kontraknya tamat pada 30 September 2019.

Pelantikan Jalil pada waktu itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Pelantikan beliau mengundang kontroversi apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan tidak mengetahui tentang pelantikan beliau dan tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

Jalil sebelum itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button