Isma terkejut lantikan Eric Paulsen dalam MPKM
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Amiruddin Yahaya terkejut dengan pelantikan peguam Eric Paulsen ke dalam Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) yang baru sahaja dibentuk oleh Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) .
Menurut Aminuddin, latar belakang Paulsen tidak mesra kepada agama Islam justeru tidak melayakkan beliau menjadi ahli dalam MPKM.
“Sekarang ini, Eric Paulsen masih lagi wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), dan dimasukkannya lagi ke dalam agensi di bawah Kementerian Komunikasi. Apa istimewanya sangat Eric Paulsen ini?” tanya Aminuddin.
Aminuddin berharap agar kerajaan Perikatan Nasional dapat meneliti semula perlantikan Paulsen. Dia juga meminta kerajaan Perikanan Nasional teliti dalam melantik individu tertentu ke dalam badan yang ditubuhkan oleh kerajaan.
“Apa gunanya apabila Pakatan Harapan jatuh, ‘tangan-tangan’ halus sebegini masih menyusup dalam kerajaan?
“Jangan kita rasa selesa dengan alasan kerajaan (Perikatan Nasional) ini adalah majoriti wakil rakyatnya beragama Islam, maka kita membenarkan sahaja apa yang dilakukan oleh mereka. ‘Check and balance’ dalam isu-isu melibatkan Islam perlu datang dari rakyat yang juga digerakkan oleh NGO-NGO Islam,” kata Amiruddin.
Pada Mac 2015 Paulsen ditahan berhubung dua kenyataannya mengenai undang-undang hudud di Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Paulsen juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme.
Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.
MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.
“Penubuhan MPKM adalah selari dengan maklamat KKMM ke arah memacu kecendekiaan (intelligence) dalam masyarakat. Ia juga seiring dengan visi kementerian, iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.
“Manakala segala undang-undang, dasar-dasar dan program-program kementerian adalah wahana untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Saifuddin.-SM