Kementerian Kesihatan sedang siapkan SOP perkhidmatan urut, refleksologi
KEMENTERIAN Kesihatan sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh digunakan untuk sektor berkaitan urut dan refleksologi sebelum boleh dibuka.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mungkin akan membentangkan SOP tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara minggu depan.
“Kita telah buka kedai gunting rambut dan salon, kita juga melihat sektor lain. Yang pasti kalau sampai ke penghujung PKPP, kalau boleh kita nak buka semua sektor dan nak pastikan jumlah kes tidak meningkat.
“Kalau boleh kita nak kekalkan satu atau dua angka dan kalau boleh kita dapat turunkan lagi kes, kita akan buka lebih banyak sektor. Kita kena seimbangkan antara kedua-dua perkara itu,” kata Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.
BACA Persatuan OKU masalah penglihatan rayu sektor refleksologi dibuka
Persatuan Voice of The Blind Malaysia yang mewakili warga orang kurang upaya (OKU) bermasalah penglihatan merayu kepada kerajaan agar membenarkan bidang perniagaan refleksologi beroperasi.
Pengerusinya Muhammad Fairuz Abdullah berkata hampir 5000 warga OKU bermasalah penglihatan yang menceburi bidang refleksologi hilang punca pendapatan sejak tiga bulan yang lalu akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang berkuatkuasa semalam yang membenarkan banyak sektor ekonomi untuk beroperasi semula termasuk sektor gunting rambut dan sektor salon kecantikan namun mengecualikan sektor refleksologi.
“Kami sebagai warga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah penglihatan amat memahami keputusan sukar yang perlu dibuat oleh kerajaan bagi memastikan ekonomi negara pulih seperti sediakala dalam masa yang sama bergiat aktif memutuskan rantaian Covid-19.
“Namun untuk memastikan daya saing dan juga kelangsungan hidup kami sebagai warga negara Malaysia juga tidak kurang pentingnya. Kami percaya, dengan garis panduan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia, kami juga patut diberi peluang untuk beroperasi sama seperti sektor gunting rambut atau salon kecantikan,” kata Muhammad Fairuz.
Jelas Muhammad Fairuz, majoriti masyarakat OKU penglihatan menyewa rumah dan perlu membayar sewa premis atau tapak perniagaan.
Dengan harga barangan keperluan asas yang semakin meningkat kehidupan mereka kini umpama sudah jatuh ditimpa tangga.-SM