NasionalPRK

Pelaburan RM30 juta PH di Tanjung Piai tidak berhasil

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai disifatkan sebagai satu medan perjuangan yang amat sukar bagi Barisan Nasional (BN) kerana perlu berhadapan jentera dan sumber yang ada pada Pakatan Harapan (PH) begitu dahsyat sekali.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, kira-kira RM30 juta ditabur oleh Kerajaan Persekutuan serta negeri dalam usaha untuk mempertahankan parlimen Tanjung Piai.

Katanya, angka itu mungkin jauh lebih tinggi jika diambil kira dana politik mereka.

Menurut beliau, ini termasuk iklan politik di muka depan akhbar Sinar Harian dan New Straits Times oleh PH yang meminta rakyat mengundi mereka.

Itu kata beliau, belum termasuk kad prabayar percuma, minyak masak dan macam-macam lagi “hadiah” untuk penduduk Tanjung Piai.

“Namun sama seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, atau kes-kes lain melibatkan kesalahan Pakatan Harapan, ramai masih tertanya akan tindakan lanjutan yang akan diambil.

“Tiada demonstrasi yang akan dianjurkan. Tiada sesiapa yang akan bergolek di jalan raya atau bermalam di Dataran Merdeka,” katanya.

Katanya, BN hanya berbekalkan keikhlasan dalam melawan jentera PH yang dahsyat.

“Jentera BN dan calon kita Wee Jeck Seng hanya berbekalkan mikrofon, ucapan dan kemesraan bersama pengundi.

“Kita bawa keikhlasan dan senyuman berjumpa dengan pengundi sahaja,” katanya.

Lagi pula katanya, Jeck Seng merupakan orang lama di Tanjung Piai mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Warga pengundi Tanjung Piai, terima kasih kerana memberikan keyakinan sekali lagi kepada Wee Jeck Seng untuk mewakili tuan-tuan dan puan-puan semua.

“Kuasa di tangan rakyat dan ini adalah kemenangan rakyat. It is the people’s victory,” kata Najib,

Najib turut merakam terima kasih kepada rakan-rakan dari Pas terutama Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, seluruh barisan kepimpinan Pas serta ahli-ahli Pas.

“Terima kasih kerana kejayaan kita di Tanjung Piai juga adalah atas sumbangan tenaga dan sokongan saudara-saudari.

“Rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada Pakatan Harapan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button