Nasional

Pemergian seorang wartawan veteran

oleh Datuk Hassan Mohd Nor

PAGI ini 24 Ramadan 1441 terima perkhabaran duka pemergian Abdullah Hassan, 73 atau dalam kalangan rakan-rakan Facebook dikenali sebagai Abdullah Hassan Al-Qudsi.

Sesungguhnya, kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

Veteran dan otai Utusan itu dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya.

Mantan bos saya semasa Allahyarham menyandang jawatan Pengarang Mingguan Malaysia (MM) sehingga persaraannya pada 2004. Allahyarham, dari Terengganu berkhidmat sebagai wartawan sejak 1971.

Seorang yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dengan pelbagai jawatan di meja berita atau Jabatan Pengarang. Sering membuat liputan berita di luar negara dan pernah berkhidmat sebagai wakil Utusan di London.

Allahyarham juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengurus Kilang Utusan di Bukit Kechil, Kuala Terengganu.
Saya bekerja bersama Allahyarham mulai Januari 2003 apabila diarah melaporkan diri sebagai Penolong Pengarang MM.

Banyak pengalaman dan tunjuk ajar yang diperoleh sepanjang bekerja di bawah kelolaan Allahyarham. Amat mengambil berat teamnya di MM bagi memastikan isi kandungan akhbar terutama wawancara, rencana, serta sisipan Pancaindera dan Kesihatan dapat diterima pembaca.

Walaupun MM sekali seminggu tetapi persediaan adunannya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah. Masih teringat bagaimana ‘sulitnya’ untuk mengisi slot Wawancara. Bukan sebarangan orang atau isu yang boleh dijadikan bahan. Pernah pada hari Sabtu, baru mendapat individu yang hendak diwawancara.

Saya masih ingat bagaimana Allahyarham yang lebih mesra kami panggil Che Lah atau ayahanda akan belanja nasi lemak atau mengajak minum di luar. Syaratnya setiap kali isu Wawancara dapat diselesaikan setelah ketua pengarang memberi ‘ lampu hijau’ mengenai personaliti dan isu yang akan dibincangkan.

Masih dalam ingatan, ketika krisis di Iraq dan tsunami di Acheh edaran MM melonjak. Jika tidak silap, pernah mencecah cetakan 600,000 naskhah.

Sesungguhnya sumbangan Allahyarham kepada Utusan amat dihargai walaupun kini Utusan sudah tiada. Selepas bersara, Allahyarham sering bertanyakan khabar akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Sering hadir majlis yang dianjurkan Utusan jika berkaitan dengan bekas kakitangan.

Dalam satu catatan FB berkaitan Perhimpunan Agung UMNO setelah Utusan ‘mati’, antara lain Allahyarham berkata:

“Assalam…. Hari ini Perhimpunan Agung UMNO ( PAU) bermula. Dan bagi diri ini, aku tahu media mana yang melaporkan perkembangannya, aku tidak akan merasa puas membaca. Sebabnya akhbar Utusan dan Mingguan sudah ” mati” dan tika hayat, nikmat membacanya ada kelainan dari yang lain
Utusan dan Mingguan adalah candu pembacaanku sejak lebih 30 tahun lalu dan aku sendiri antara yang menjadi “resipi dan adunannya”.
Dulu aku tidak ketagih membacanya sebab tiap hari boleh ” memuas kecanduan minda” di pejabat. Kini bila bersara, aku ketagih. Laporan media lain tidak boleh memberi kepuasan membaca kepadaku,”

Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga sumbangan baik Allahyarham akan mendapat ganjaran di sisi-Nya.
Ya Allah, Rahmatilah dia, Muliakan kematiannya lapangkanlah kuburnya. Aamiin.

  • Ini merupakan catatan oleh Datuk Hassan Mohd Nor, Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan
  • Artikel ini diambil dari Facebook Datuk Hassan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button