Jonathan jalani latihan bersendirian di kampus
JONATHAN Nyepa, pelari pecut negara memilih untuk terus kekal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan agar beliau dapat meneruskan latihan.
Walaupun kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi pulang ke kampung halaman masing-masing bermula 27 April lepas, atlet berasal dari Sungai Asap, Sarawak itu sanggup mengorbankan masa bersama keluarga untuk terus berlatih bagi mencapai misinya.
Keputusan itu turut menyebabkan Jonathan tidak dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarganya pada 1 dan 2 Jun ini.
Pelajar jurusan Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, yang ‘tersangkut’ di kolej kediamannya sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas, bagaimanapun lega dapat melakukan latihan di luar sekarang.
“Kampung saya berada dalam zon hijau, mungkin saya kena kuarantin dahulu jika balik ke sana. Saya juga selesa membuat latihan di UPM kerana tak ramai orang selain agak selamat kerana orang luar tidak dibenarkan masuk.
“Sebagai atlet kebangsaan, saya memang jarang balik ke kampung kerana komitmen latihan dan kejohanan. Pada tahun-tahun sebelum ini pun, saya hanya balik ke kampung setahun sekali ketika Krismas,” katanya Jonathan ketika dihubungi Bernama.
Atlet berusia 26 tahun itu, yang gembira dapat melakukan latihan di luar, bagaimanapun mahu mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengamalkan jarakan sosial ketika latihan luar bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19.
Selepas hampir kesemua kejohanan dipinda atau dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, Jonathan tetap mahu meneruskan misi untuk memperbaiki catatan peribadinya apabila penganjuran kejohanan dibenarkan berlangsung.
“Saya memang melakukan latihan secara konsisten sejak PKP dilaksanakan dan kini dapat melakukan latihan di persekitaran Kolej Pendeta Za’ba. Saya akan meneruskan sasaran untuk memperbaiki catatan masa saya,” katanya.
Jonathan yang memiliki catatan masa 10.28 saat dalam acara 100m dan 20.92s bagi acara 200m, menjadi harapan negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina namun atlet yang baru pulang dari latihan di Amerika Syarikat itu terpaksa berpuas hati di tempat keempat.
Bagaimanapun, Mohd Haiqal Hanafi berjaya mengekalkan gelaran ‘Raja Pecut’ Asia Tenggara, yang dimenangi oleh Khairul Hafiz Jantan pada KL 2017 di Malaysia, apabila mencipta kejutan meraih pingat emas dengan catatan 10.35s di Stadium Olahraga New Clark City pada Disember lepas.