Bukan merempat, tetapi terkandas kerana mengusahakan kebun
HASRAT untuk mengusahakan kebun getah, bercucuk tanam di tanah peninggalan keluarga di Kampung Malan, Johol, menyebabkan lima beranak hampir dua bulan terkandas di sebuah khemah yang didirikan sebagai pondok berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.
Keluarga itu ketika ditemui BERNAMA melahirkan perasaan terkejut setelah mendapat tahu kisah mereka hidup dalam keadaan daif tular di media sosial.
Pemilik pondok khemah itu, Radzuran Ismail, 52, berkata isu yang tular itu luar pengetahuan keluarganya dan menafikan dakwaan mengenai beliau bersama keluarganya hidup merempat di sebuah khemah didirikan di tanah peninggalan keluarganya itu seperti tular di media sosial.
“Saya membawa isteri Nazariah Mat Dakim, 47, dan tiga orang anak ke kampung semasa cuti sekolah pada bulan Mac lepas. Apabila PKP dikuatkuasakan dan tidak dibenarkan merentas negeri menyebabkan kami terkandas di sini.
“Sebelum ini saya bersendirian ulang-alik dari kediaman di Meru, Klang, Selangor ke sini disebabkan saya bekerja di sebuah kilang sawit di sini serta mengusahakan tanaman di kampung.
“Saya membina pondok khemah untuk berehat dan kadang kala tidur di sini bersama keluarga memandangkan tidak mempunyai rumah di tanah sendiri selain permohonan untuk membina rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) masih dalam proses,” katanya.
Tambahnya, rumah pusaka milik keluarganya yang terbakar pada tahun 2015 itu menyebabkan mereka tidak mempunyai rumah di tanah sendiri.
Sementara itu, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan juga adik perempuan Radzuran, Maznah Ismail, 40, berkata beliau tergerak hati untuk balik ke kampung Malan, Johol pada 30 April lepas setelah mengetahui abangnya berada di sana kerana terkandas ekoran PKP.
“Apabila kerajaan benarkan pelajar universiti balik ke kediaman masing-masing, saya mengisi borang dan memilih untuk tinggal bersama abang.
“Apabila saya tahu abang berada di kampung halaman jadi saya memilih untuk tinggal bersama abang memandangkan sudah enam bulan saya tidak bertemu dengannya.
“Saya terkejut kerana kisah ini tular kerana kami di sini baik-baik sahaja dan dakwaan mengenai keluarga merempat dan tidak mendapat bantuan mana-mana pihak adalah tidak benar,” katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Johol Saiful Yazan Sulaiman yang turut melawat keluarga berkenaan ketika ditemui Bernama berkata urusan pembinaan rumah bagi keluarga Radzuran akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.
“Pada hari ini kita membantu urusan perjalanan keluarga mereka untuk pulang semula ke Meru, Klang bagi memastikan mereka dapat tinggal selesa di kediaman sendiri,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial, mengenai kisah pelajar PhD pulang ke kampung halamannya dan tinggal bersama abang kandung dan isteri di sebuah khemah usang. – BERNAMA