Nasional

COVID-19: Rakyat Perlis mesti berusaha capai tahap ‘Zon Putih’

RAJA  Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat supaya sama-sama berusaha lebih keras untuk memastikan negeri ini berjaya mencapai tahap ‘Zon Putih’ dalam menangani isu Covid-19.

Titah baginda, tiada sesiapa sekali-kali mengambil sikap acuh tak acuh atau sambil lewa setelah diisytiharkan sebagai ‘Negeri Zon Hijau’ pada 23 April 2020 yang lalu.

“Perjuangan kali ini adalah satu realiti yang menakutkan.

“Yang paling mustahak ialah semua masyarakat di negeri ini hendaklah terus melipatgandakan peringatan kepada
slogan ‘Kita Jaga Kita’ dan tidak boleh berkompromi agar penularan wabak ‘gelombang kedua’ tidak sekali-kali akan berlaku,” titah baginda.

Titah baginda, setiap ketua keluarga di Perlis wajib bertanggungjawab mengambil inisiatif serta langkah sendiri bagi memperketat dan memberikan perhatian serius terhadap keselamatan diri dan keluarga masing-masing supaya segala arahan yang diperintahkan oleh pihak berkuasa dipatuhi.

Baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bertitah demikian setelah dipohon memberikan pandangan mengenai pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pagi semalam.

Untuk rekod, kawasan-kawasan diwarnakan dengan merah adalah melibatkan kes baru dikesan dalam masa kurang tujuh hari; kuning ialah tiada kes baru dikesan lebih dari seminggu, tetapi dikesan dalam tempoh 14 hari; hijau pula tiada kes baru di kesan lebih dari dua minggu, tetapi dikesan dalam tempoh 28 hari; manakala putih pula tiada kes baru dikesan lebih dari 28 hari iaitu masa dua minggu tempoh inkubasi bagi coronavirus.

Menurut baginda, dalam fasa kebebasan sosial, ekonomi bersyarat bermula isnin ini, nampaknya tiada jalan pintas dan memungkinkan keperluan belanja kos yang tinggi serta kondisi kerja yang kurang selesa untuk semua, demi untuk menjaga keselamatan diri masing-masing.

Raja Muda Perlis bertitah, bagi profesion yang memerlukan hubungan dekat di mana penjarakan tidak mungkin dapat dilakukan seperti tukang gunting rambut, mereka sewajarnya memakai topeng muka dan sut pelindungan sepenuhnya.

Bagi kompleks membeli belah, pasaraya, pasar basah, pasar borong dan seumpamanya yang diberikan kebenaran beroperasi, adalah wajar melaksanakan aktiviti pergerakan mengikut satu arah sahaja iaitu ‘anti clockwise’ atau ala bertawaf supaya kurang pertembungan secara bersemuka para pengunjung antara satu sama lain.

Secara umumnya, orang ramai seharusnya terus mengurangkan kekerapan mereka untuk membeli-belah dengan cara membeli barangan dalam jumlah yang lebih besar setiap kali keluar.

Pada masa yang sama juga baginda menasihatkan mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas serta yang mempunyai sejarah kesihatan seperti penyakit barah, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya untuk tidak digalakkan keluar membeli-belah. Sebaliknya perlu meminta bantuan orang yang lebih muda untuk keluar membeli barangan keperluan tersebut bagi pihak mereka.

“Bagi mereka yang bersenam, ‘berjogging’ atau berbasikal sewajarnya mengekalkan jarak dua meter di antara satu sama lain.

“ini kerana mereka perlu bernafas menjauhi sesiapa yang datang dari arah hadapan mereka.

“Semua juga disarankan agar melaksanakan aktiviti pergerakan mengikut satu arah sahaja iaitu ‘anti clockwise’ sepertimana disebutkan tadi.

“Ini kerana apabila seseorang itu bernafas dengan laju, udara yang dihembuskan tersebut boleh menghasilkan semburan seumpama ‘aerosol’ iaitu cecair halus seperti kabus yang akan terbang ke udara dan tidak akan mendap ke permukaan tanah.

“Walaupun pembawa virus Covid-19 berpotensi menyebarkan virus tersebut ke udara dalam jarak yang lebih jauh dari 2 meter, namun dalam kondisi kepekatan yang lebih rendah,” titah baginda. – SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button