Nasional

Menteri-menteri muda kena cerdik, peka masyarakat

KOMENTAR

APA kriteria yang digunakan oleh seseorang Perdana Menteri dalam pelantikan seseorang menteri?

Soalan ini sukar dijawab dengan sempurna, meskipun ada tanggapan pelantikan menteri-menteri baharu bulan lepas itu kerana hendak beri tempat kepada `rakan-rakan kongsi’.

Tiada perincian yang muktamad kriteria pelantikan – khususnya apa yang berjalan dalam pemikiran Perdana Menteri tidak diketahui orang.

Tapi sedikit yang boleh dikongsi SUARA MERDEKA kepada yang bertanya: PM biasanya pandang pada kemampuan seseorang. Kebolehan berfikir dan bekerja secara produktif, dedikasi dan berkesan.

Kadangkala seseorang itu diambil menjadi anggota Kabinet atas kedudukannya dalam parti politik. Sesetengahnya dapat jadi menteri tanpa melalui asuhan dari bawah. Dia dilantik terus jadi menteri.

Tapi berbanding menteri-menteri terdahulu, tidak ramai yang hari ini berjaya menempuhnya. Faham-faham sendirilah siapa.

Ini berbeza dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Waima yang agak tersohor dan hampir jadi PM, arwah Tun Ghazali Shafie, bekas Menteri Dalam Negeri dan Menteri Luar. Mereka ini waktu muda masuk kerja pentadbiran – ligat, pantas belajar.

Rata-rata menteri dalam Kabinet yang lepas-lepas kena melalui terlebih dahulu
sistem apprenticeship atau latihan dari bawah. Mulai dari tahap setiausaha parlimen hinggalah ke tahap menteri.

Cuma SUARA MERDEKA terfikir satu perkara ini. Kalau seseorang menteri itu tak beberapa perform dalam enam bulan ini, agaknya apa sebabnya?

Mengapa malas nak belajar dari sejarah menteri-menteri dalam Pakatan Harapan? Atau anda barangkali tak ambil penduli, hingga sampai dikritik dengan rekaan atau ciptaan keseronokan yang bukan-bukan.

Kalau boleh SUARA MERDEKA bagi contoh individu untuk diteladani menteri-menteri baharu hari ini, Daim misalnya.

Daim dianggap sebagai ‘the reluctant politician’ atau ahli politik yang tidak begitu ghairah jadi anggota Kabinet. Beliau tidak suka hadiri majlis-majlis rasmi. Tidak suka sampaikan ucapan politik. Juga sering menyisihkan diri dari `limelight’ atau suluhan media. Banyak majlis yang beliau tidak hadiri.

Apabila PM atau TPM keluar negara misalnya, ramailah anggota Kabinet dan pegawai turut hantar beliau di lapangan terbang. Kepada Daim itu semua tak penting. Namun hubungannya rapat dengan PM, lantaran keupayaannya dalam membimbing ekonomi negara.

Menteri-menteri baharu hari ini harus mengenali cara bekerja Dr. Mahathir.

Tiada perkara yang terlalu kecil bagi Dr. Mahathir. His attention to details is fantastic.

Pernah dicatatkan, pada suatu pagi Julai 1983, Dr. Mahathir membawa anggota Kabinetnya melihat tandas contoh bagi orang Islam sebelum sesi mesyuarat bermula di pejabat lama JPM di Jalan Dato’ Onn.

Tandasnya biasa saja – jenis duduk yang mempunyai paip pancut untuk bersuci. Tangki air tandas pula dilengkapkan dengan sejenis bekas cembung yang diairi sejenis air yang mengalirkan air terus ke tangki. Ini membolehkan seseorang membasuh tangan dan air terpakai lantas masuk ke tangki tandas yang boleh flush najis ke salurnya.

Pada masa yang lain pula, Dr. Mahathir mengesyorkan supaya skim perumahan mempunyai cukup tangki penampung air hujan yang boleh digunakan oleh saliran air tandas.

Itu hal yang barangkali `remeh’, tapi impaknya besar.

Dr. Mahathir lekas bertindak dan cepat buat kerja. Pada 1982 beliau baru setahun jadi PM, waktu rasmi negara diawalkan setengah jam. Ertinya, jika sebelum itu waktu sampai ke pejabat ialah 8 pagi, dari segi sebenar, waktu tersebut disingkatkan setengah jam lebih awal iaitu pada 7.30 pagi.

Tetapi jam tetap 8 pagi. Singapura juga mengubah waktu jamnya ikut Malaysia. Penyelarasan waktu Sabah-Sarawak dan Semenanjung dilaksanakan. Dr. Mahathir benar-benar telah melakukan apa yang dibidalkan dalam bahasa Inggeris, “He has turned back the clock”.

Mulai tahun 1981 hingga 1986, pembaharuan demi pembaharuan dibuatnya. Kakitangan awam, termasuk menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan anggota pentadbiran dikehendaki memakai lencana nama masing-masing.

Dr. Mahathir pantas berfikir, pantas bekerja dan pantas menyusul perkara-perkara yang didasarkan untuk dilaksanakan.

Sama seperti era pertama beliau, era kedua selaku PM pun, beliau seperti itu juga – kepadanya sesuatu perkara itu seolah-olah seperti harus dilaksanakan semalam.

Atas sebab itu, SUARA MERDEKA cukup, cukup, cukup (3x sebut) pelik, kenapalah menteri-menteri baharu ini tak mahu belajar dari ‘sejarah’ yang baru berakhir dalam tempoh dua tahun lepas ini sahaja.

Kalau sebilangan menteri dalam sebulan ini masih tak cerdik-cerdik lagi, tak tahulah apa yang hendak dikato.

Jangan sebutlah `saya masih selamat’ sebagai menteri. Bersikap rendah dirilah sikit. Masuk kelas. ‘Sekolah’ balik.

Jangan lagi anda `tersadung’ dengan statement-statement yang jadi peluru hentam anda balik. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button