‘Kita akan sambung usaha Ustaz Azizan’
SEBUTLAH apa sahaja — daripada meningkatkan ekonomi orang kampung hingga berdirinya Aman Central yang menjadi mercu tanda Alor Setar hari ini – itulah hasil sentuhan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah ke 10.
Hingga kini Allahyarham masih dikenang sebagai Menteri Besar Kedah yang terbaik.
Walaupun memerintah hanya satu penggal selepas Pilihan Raya Umum ke-12, banyak tugasan berjaya disempurnakannya untuk kepentingan rakyat dalam ‘kesibukan’ menepis pelbagai langkah politik untuk menjatuhkannya dari dalam mahupun luar parti.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan negeri, pegawai yang paling dekat, paling memahami dan sering kali pula menjadi ‘punching bag’ beliau sudah tentu Setiausaha Politiknya, Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Bab kena marah ni… tak tau nak kira dah. Tiap-tiap hari berbakul, Tapi saya berasa amat bertuah kerana mendapat peluang belajar menimba pengalaman daripada arwah,” kata Muhammad Sanusi yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, juga selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Sebagai anak didik dan disebut-sebut paling layak untuk mengambil alih tugas Menteri Besar jika PAS diberikan semula mandat memerintah, Muhammad Sanusi dengan nada merendah diri berkata, “saya tidak sampai tahap untuk jadi seperti Ustaz Azizan.”
Apa yang terlalu hebat dan istimewanya Ustaz Azizan, kita ikuti perkongsian selanjutnya daripada Muhammad Sanusi bersama wartawan Mat Mahang.
61 bulan kerja tanpa cuti
Dalam tempoh kita dibayar gaji sebagai pemimpin, kalau kita fikir perkara lain selain tanggungjawab kepada rakyat walaupun seminit, kita berdosa.
Bagi kami, pesanan itu sangat mendalam maknanya. Itu induk segala pesanan Alllahyarham.
Jangan sesekali fikir untuk kepentingan atau keuntungan peribadi!
Jangan sesekali fikir nak berniaga atau makan komisen daripada kedudukan dalam kerajaan, itu lebih besar lagi dosanya!
Kepada kami, pegawai-pegawai yang berkhidmat secara langsung dengan beliau, arwah memang selalu mengingatkan akan dosa kita makan hak orang lain, walaupun apa yang kita anggap remeh, misalnya sekali-sekala terbuat perkara yang lain dalam masa kita sepatutnya bekerja.
Ustaz Azizan tidak pernah bercuti walaupun satu hari selama 61 bulan beliau memegang jawatan Menteri Besar.
Beliau tetap bekerja tak kira di mana. Di atas katil hospital pun beliau bekerja.
Ketika beliau menjalani rawatan cuci darah yang ambil masa selama empat jam setiap kali rawatan, beliau tidak ambil masa itu untuk berehat macam orang lain.
Dia suruh kami bawa fail untuk semak apa yang perlu disemak, tandatangan apa dokumen yang perlu ditandatangan.
Kadang kala, pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk pengarah-pengarah dipanggil mengadap beliau di hospital untuk berbincang apa-apa yang perlu disegerakan untuk kepentingan rakyat.
Beliau amat tidak suka kalau ada urusan yang tersangkut hingga boleh menjejaskan rakyat dan negeri bersebab dengan masalah kesihatannya.
Itulah yang membezakan Ustaz Azizan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain.
Tiada alasan belajar daripada kesilapan
Kepada kami pegawai-pegawai parti dan juga di pejabat MB, Ustaz Azizan selalu kata “aku nak latih hangpa (anda semua) macam askar”.
Dalam pengurusan, dia sama sekali tidak benarkan alasan ‘belajar daripada kesilapan’.
“Kalau aku benarkan hangpa buat silap, nanti banyak kali hangpa akan buat silap. Bila nak betui?” Itulah yang selalu arwah peringatkan kami.
Do it right at the first time! (Lakukan dengan betul seawal kali pertama)
Selama bekerja dengan Ustaz Azizan, saya dan pegawai-pegawai yang berkhidmat secara langsung kepadanya biasa dipanggil ke rumah beliau bukan saja tengah malam, tapi pukul 2 pagi.
Apabila kita sampai, dia akan kata “aku panggil ni bukan pasai nak kacau hang tidoq (tidur) tapi aku takut esok aku lupa. Jadi la ni aku habaq (beritahu) siap-siap, hang tulis. Aku banyak benda nak kena pikiaq. Esok kalau aku pikiaq hat lain, hat ni aku lupa dah… jadi hang tulis siap-siap.”
“Aku takut tak lepas jawab depan Allah”
Ustaz Azizan memang seorang yang workaholic (kuat kerja). Daripada bangun tidur sampai waktu nak tidur, dalam kepala dia hanya fikir macam mana nak membawa kesejahteraan pada kehidupan rakyat, hal amanah dan tanggungjawab dia sebagai pemimpin.
Dia selalu kata “aku takut tak lepas nak jawab depan Allah di sana (akhirat) esok.”
Peluang belajar
Sepanjang bekerja dengan arwah, terlalu banyak perkara yang saya belajar. Belajar sambil saya bekerja dengan tengok cara arwah bekerja.
Cuma yang kadang kala saya fikir jadi halangan bagi diri saya (untuk jadi macam arwah) ialah apa yang dia ada, saya tidak ada terutama dari segi ilmu.
Saya bukan pelajar aliran agama sedangkan arwah ilmunya mencakupi pelbagai bidang, daripada ilmu agama, pengurusan dan macam-macam.
Apa yang dia cuba nak beri (ilmu) untuk saya tadah, saya sendiri tidak cukup syarat.
Siyasah syar’iyyah, fiqah, usul fiqh dan lain-lain cabang ilmu Islam, memang dia sentiasa nak curah (ilmu) tetapi latar belakang pengajian saya bukan dalam disiplin itu.
‘Raga’ saya tidak cukup syarat, jadi saya tak boleh nak ‘tangkap’ kesemua yang arwah nak berikan. Itulah kerugian diri saya secara peribadi.
Antara yang saya ingat ialah kaedah fiqh, tolak mudarat dulu, kemudian baru fikir hal manfaat.
Maqasid Syariah orang kata ada lima, dia kata enam. Dia tambah satu lagi iaitu tanggungjawab mempertahankan maruah.
Tetapi dari segi kemahiran lain banyaklah yang saya belajar daripadanya. Ekonomi, undang-undang dan lain-lain bidang, ilmu arwah adalah sangat luas.
Arwah Ustaz mengajar di universiti dalam pelbagai bidang di UKM dan UIAM dalam pengajian Islam. Di Universiti Mindanao (Filipina) dia mengajar Islamic Jurisprudence (Perundangan Islam).
Arwah seorang yang multitasking (serba boleh).
Ulat buku
Rangkaian contacts arwah di luar juga sangat luas. Kawan-kawan dia ramai.
Arwah juga kuat membaca. Bukan saja di pejabat tapi di rumah, hampir setiap ruang jadi perpustakaan. Buku-buku kolekasi dia beribu banyaknya dan bukan disimpan saja, dia baca.
Sesiapa yang nak jumpa dia, dia akan study asal usul keturunan kawan tu sampai ke nenek moyang dia. Pernah seorang menteri datang jumpa dia.
Pertemuan yang asal dirancang setengah jam jadi dua jam. Arwah bercerita kepada menteri itu asal keturunan menteri iu sendiri, dari Sumatera sampai berhijrah ke Tanah Melayu.
Di Tanah Melayu, di mana pula keluarga mereka berkembang. Semua dia cerita kepada menteri itu.
Selepas menteri itu balik, saya tanya kepada arwah, “Ustaz tau dari mana semua asal usul dia sedangkan Ustaz tak pernah pi tempat depa pun?”
Jawab Ustaz, “memang aku tak pernah pi tapi aku baca. Semua tu ada cerita dalam buku,”
Macam itulah juga kalau ada anggota kerabat diraja datang jumpa dia. Arwah cukup ambil tahu hal salasilah atau jalur keluarga diraja.
Dia boleh ceritakan balik secara detail kepada mereka yang datang jumpa dia.
Dengan orang kampung pun macam itu juga. Sesiapa yang jumpa dia, cukup dengan beritahu dia nama ayah atau datuk, dia boleh cerita hal keluarga orang itu satu persatu.
Kemahiran itu antara yang saya sempat belajar daripada dia.
Amanat kepada Mukhriz
Cita-cita Allahyarham yang paling besar tetapi dihentikan atau dibatalkan oleh Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) sebaik mengambil alih jawatan Menteri Besar ialah Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi.
Saya ingat lagi, hari terakhir Ustaz Azizan masih boleh bercakap, dari atas katil hospital, dia berpesan kepada Datuk Seri Mukhriz, tolong cari duit untuk pastikan Insaniah (Kolej Universiti Insaniah, sekarang Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, UNISHAMS) dapat jadi universiti penuh.
Yang kedua, realisasikan hajat dia untuk bina Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi.
Dua perkara itu adalah yang paling utama bagi Allahyarham. Jiwa dia jiwa pendidik, orang yang sangat cintakan ilmu.
Alhamdulillah, UNISHAMS sekarang sudah jadi universiti penuh sebagaimana yang diimpikan Allahyarham tetapi yang kita berasa terkilan, Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba.
Kalau diizinkan Allah kita jadi kerajaan semula, itu termasuk dalam prioriti PAS Kedah.
Tapak untuk maahad itu sudah ada. Pecah tanah pun sudah dibuat. Bajet pun Ustaz Azizan sudah susun siap, setiap tahun RM3 juta dan dijangka akan siap dalam masa tiga tahun.
Akhirnya projek itu dibatalkan, sampai sekarang terus guna pakai kampus sementara di Kulim.
Allahyarham Ustaz Azizan, apabila mengilhamkan sesuatu projek, apa yang dia fikir bukan semata-mata soal pembangunan fizikal tetapi banyak perkara atau impak yang bersangkutan.
Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba, bukan semata-mata kerana dia nak dirikan sebuah maahad tahfiz sains di sana tetapi apa yang utama baginya ialah soal masyarakat di tempat itu dari segi ekonomi, pendidikan, gaya hidup dan sebagainya.
Ada sebab tertentu mengapa Ustaz Azizan fikir nak bawa maahad tahfiz sains ke tempat itu.
Kalau setakat nak buat maahad, di mana-maa pun boleh. Jadi itulah hajat dia yang tidak kesampaian apabila projek itu dibatalkan oleh Datuk Seri Mukhriz.
Hidup mesti berkat
Allahyarham sangat ambil berat tentang amalan yang boleh bawa keberkatan dalam hidup kita, terutama solat dhuha.
Hal solat dhuha memang selalu sangat diperingatkan kepada kami staf di pejabat Menteri Besar, dalam parti dan juga pegawai-pegawai kerajaan.
Pernah dibuat kempen solat dhuha untuk semua pejabat kerajaan di seluruh negeri. Dalam ucapan pun dia selalu sebut tentang doa solat dhuha.
Konsep keberkatan rezeki seperti ini memang tidak ada dalam sistem mana-mana kerajaan pun tetapi atas kapasiti peribadi sebagai seorang pemimpin, dia mendidik kita sesuatu yang amat memberi nilai dan makna.
Setiap orang ada rezekinya masing-masing, jadi apabila kita semua solat dan berdoa, Allah makbulkan, rahmat akan diturunkan untuk seluruh negeri. Mudah untuk diamalkan tetapi nilainya di sisi Allah adalah sangat tinggi.
Dengan didikan yang seperti ini jugalah ia boleh mendidik pegawai-pegawai kerajaan menjadi lebih berintegriti, tidak curi tulang, tidak rasuah dan sebagainya.
Kosep berkat dan rahmat memang menjadi prioriti dalam pentadbiran Allahyarham.
‘Belanda Timur’
Ustaz Azizan mempunyai punya gagasan untuk menjadikan Kedah pusat pengeluaran makanan utama negara.
Dalam bidang pertanian, kita tidak lagi mahu dikenali hanya sebagai Jelapang Padi tetapi dengan pelbagai produk pertanian. Sebagaimana negara Belanda di Eropah, beliau mahu menjadikan Kedah seperti Belanda Timur.
Apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi mahupun penawaran bekalan makanan, bukan sahaja di negeri Kedah tetapi juga seluruh negara, beliau arahkan semua pegawai dan jentera kerajaan bekerja keras ke arah itu, termasuk juga dalam industry hiliran atau yang berada dalam rantaian pengeluaran produk pertanian.
Walaupun tempoh pemerintahannya sekejap – hanya satu penggal – Kedah sempat muncul sebagai negeri pengeluar nanas kedua terbesar negara selepas Johor.
Johor memang sudah lama tetapi Kedah yang baru digerakkan untuk aktif dalam bidang tanaman nanas telah mencapai kejayaan dalam tempoh yang sangat singkat.
Sayangnya, apabila tampuk pemerintahan negeri bertukar tangan, usaha yang telah kita mulakan itu tidak diteruskan oleh kerajaan yang baharu. Berjuta pokok nanas yang telah kita tanam, ditinggalkan begitu sahaja.
Asalnya kita menjangkakan, Kedah dalam tempoh yang singkat sahaja boleh mengatasi pengeluaran nanas Johor jika apa yang telah dimulakan oleh Ustaz Azizan diteruskan oleh kerajaan pimpinan menteri besar yang baharu.
Sayangnya, perkara yang begitu baik yang telah dimulakan oleh Ustaz dan telah terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat, ditinggalkan begitu sahaja.
Kumpulan Ladang disuruh buka ladang ternakan lembu di Laka Temin. Asalnya setiap kali Hari Raya Korban, Ustaz tanya mengapa kita terpaksa beli lembu jauh dari negeri lain, ada yang sejauh dari Pahang.
Apabila perjalanan jauh, ada lembu yang sakit, cedera dan ada yang tak boleh dibuat korban. Mengapa kita tidak bela sendiri, buat ladang ternakan? Lalu usaha itu pun dimulakan oleh Kumpulan Ladang.
Lepas itu, Kumpulan Ladang bergiat pula dalam industri pengeluaran makanan ternakan yang selama ini banyak didominasi oleh taikun-taikun.
Ini satu masalah juga dalam industri ternakan apabila pengeluaran makanan ternakan dikawal dan dimonopoli oleh taikun-taikun tertentu yang menyebabkan harganya mahal dan meningkatkan kos penternak.
Kita juga pada masa itu melaksanakan konsep contract farming iaitu kita mengeluarkan satu produk yang dturut dikeluarkan oleh penduduk atau pengusaha individu di tempat itu. Sebagai contoh, di daerah Sik kita jalankan Projek Keli-K.
Anak syarikat kerajaan menjalankan projek ternakan ikan keli, pada masa yang sama kita juga menggalakkan orang perseorangan untuk menjalankan ternakan keli.
Hasil keli yang diternak oleh anak syarikat kerajaan negeri, akan dicampur dengan hasil pengusaha persendirian untuk dipasarkan. Kita ada perjanjian dengan Adabi dan sebuah syarikat di Negeri Sembilan untuk proses hasil keli kita dijadikan sardin.
Pendekatan ekonomi Ustaz Azizan adalah lebih mengutamakan konsep keusahawanan, melahirkan usahawan-usahawan dalam kalangan anggota masyarakat.
Kerajaan pula memainkan peranan sebagai pencetus, pemudahcara selain membantu dalam mencari peluang pemasaran.
Bukanlah kita nak kata Ustaz tidak pentingkan industri mega atau pelaburan yang bernilai jutaan ringgit tetapi dia tidak pinggirkan malah jadikan ekonomi desa sebagai prioriti, membantu meningkatkan ekonomi orang kampung.
Itu yang lebih memberikan manfaat bagi kumpulan sasar tertentu.
Tasik Pedu
Di Tasik Pedu, Ustaz punya rancangan untuk mewujudkan kawasan agropelancongan, gabungan alam semulajadi dengan projek pertanian.
Idea ini dia dapat dari Mesir, macam mana di Mesir, tanah padang pasir yang tandus boleh dijadikan ladang tanaman sitrus 400 spesies limau.
Mesir gunakan teknologi air bawah tanah dari Vietnam dan baja dari Amerika Syarikat. Dengan teknologi ini, Mesir jadi negara pengeksport limau terbesar ke Eropah.
Tetapi di kawasan Charok Genting Bunga di Tasik Pedu, kita bukan nak tanam limau sahaja.
Mula sekali kita nak tanam mangga. Ikut pelan Ustaz, sekurang-kurangnya 40 spesies buah-buahan termasuk anggur, juga buah-buahan dan tanaman nadir tempatan, akan ditanam di sini.
Mangga sahaja ditanam pelbagai dalam ladang seluas 80 ekar. Ini termasuk harumanis dan chokanan.
Dari segi ekonomi, kita meletakkan matlamat untuk orang datang makan buah-buahan di dalam dusun mengikut musim selain melawat Tasik Pedu. Pemandangan di kawasan itu memang cantik.
Dengan nilai tambah agropelancongan ini, kita yakin Tasik Pedu boleh menjana sumber ekonomi baharu untuk penduduk setempat dan untuk negeri keseluruhannya.
Selain itu, mengikut perancangan Ustaz Azizan, ladang-ladang di kawasan ini mahu dijadikan projek angkat untuk sekolah-sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi membantu mereka dari segi pendapatan tambahan.
Satu lagi kita juga merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan tilapia secara komersil bagi tujuan eksport dalam bentuk filet.
Ini kita cadang nak buat dengan kerjasama sebuah syarikat dari Kanada yang telah pun berpengalaman menjalankan projek yang sama di Tasik Chenderoh, Perak.
Syeikh Zakaria Othman (Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah sekarang) diarahkan oleh Ustaz untuk meneroka pasaran dan telah mendapat persetujuan awal daripada beberapa syarikat pasar raya di Timur Tengah.
Bagaimanapun disebabkan halangan tertentu, urusan itu menjadi tidak begitu lancar hingga kita terpaksa cuba untuk mendapatkan laluan eksport melalui Thailand. Usaha itu bagaimanapun terhenti apabila parti kita tewas dalam pilihan raya ke 13.
Kulim Hi-Tech
Kulim Hi-Tech masa pentadbiran Ustaz berjaya buka Fasa 4. Kerajaan Pusat turunkan soft-loan sebanyak RM80 juta dan wang itu semuanya turun ke situ.
Kita kerajaan yang tidak ada `hanky panky’ dengan pengurusan yang telus lagi berintegriti, jadi apa yang disasarkan, itulah yang jadi.
Ketiadaan pengalaman menguruskan industri menyebabkan banyak pihak yang pesimistik terhadap kemampuan kita sebelum itu akhirnya terpaksa memuji pentadbiran Ustaz.
Jimat cermat
Paling berkesan dalam pemerintahan ialah berjimat cermat.
Setiap kali ada urusan di Kuala Lumpur, Ustaz tidak naik kapal terbang. Dia juga tidak menginap di hotel. Ustaz sebaliknya berkereta, dan sewa apartmen untuk bermalam sepanjang tempoh berurusan di Ibu Negara.
Kami pegawai-pegawai juga diarah untuk bermalam di rumah yang sama.
Dalam hal ini sahaja, Ustaz berjaya membawa penjimatan berpuluh ribu ringgit setiap bulan daripada wang kerajaan.
Ustaz selalu berpesan: “Wang rakyat kena belanja untuk rakyat, bukan untuk kita.”
Itu yang kadang orang parti pun marah. Mereka kata Ustaz kedekut. Ustaz jawab, “aku kedekut sebab bukan duit aku. Kalau hangpa minta duit aku, aku bagi la. Ini duit orang, orang amanah kat aku, tak boleh la aku nak bagi kat hangpa.”
Arwah cukup jaga bab amanah. Walaupun dia pemimpin parti, kalau orang nak ambik duit untuk parti dia kata tak boleh.
Ini bukan duit parti kita. Ini duit rakyat Kedah yang 2.2 juta orang. Parti kita di Kedah ada 120,000 ahli sahaja. Mana boleh ambil duit hak 2.2 juta orang guna untuk 120,000 orang.
Sesetengah orang parti yang tidak faham dengan pendirian Ustaz, akan marah.
Depa kata Ustaz Azizan jadi Menteri Besar dengan PAS tapi kedekut dengan ahli PAS sendiri. Itu yag digembar-gembur oleh musuh-musuh politik Ustaz dalam PAS masa itu.”
Kalau kita melihat dalam konteks pendapatan negeri, tiada yang meningkat tetapi kerajaan pada masa itu dapat menguruskan perbelanjaan untuk rakyat dengan baik adalah daripada usaha berjimat cermat yang sangat berkesan sepanjang pentadbiran Ustaz. .
Jadi sasaran broker balak
Semasa pemerintahan Ustaz Azizan, antara yang paling berjaya ialah pelaksanaan tender terbuka untuk pembalakan.
Apabila sistem ini dilaksanakan, yang bangkit menentang adalah broker-broker.
Mereka tentang kerana syarikat-syarikat balak tidak lagi perlu lagi melalui lobi broker tetapi bersaing secara terbuka untuk mendapatkan tender dan berurusan terus dengan Jabatan Hutan.
Sebelum Ustaz Azizan ambil alih, pendapatan Kerajaan Kedah daripada hasil balak hanya sekitar RM7 juta hingga RM8 juta setahun.
Tetapi pada tahun pertama kita memerintah, hasil tender terbuka pendapatan kita bertambah kepada RM28 juta, kemudian RM35 juta seterusnya, RM48 juta dan terus meningkat kepada RM80 juta pada 2012.
Ini hasil daripada ketelusan kerajaan pimpinan arwah.
Tanah teroka
Di sekitar Gunung Inas, Baling ada 2,182 peneroka tanah yang sudah 25 tahun mengusahakan tanah di situ.
Ustaz arahkan Pejabat Tanah Baling untuk sukat dan uruskan proses pemberian hak milik. Kumpulan yang pertama seramai 50 peneroka dapat Notis 5A untuk bayar premium. Tanah itu sudah 25 tahun diteroka malah sudah jadi kampung pun.
Ustaz punya falsafah, dia kata “Jabatan Hutan kerja jaga hutan saja. Kalau dah jadi kampung, kena beri tanah kepada orang kampung.”
Di tempat lain pun ada yang macam itu tetapi syarat kerajaan, kena teroka lebih 25 tahun, baru boleh mohon.
Mengikut hukum Islam, ini disebut ‘ahya al mawat’ atau menghidupkan tanah. Ada beberapa hadith termasuk yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tirmdizi dan Abu Dawud, Rasulullah SAW bersabad, “siapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka tanah itu jadi miliknya.”
Itulah yang jadi dasar Ustaz untuk memberikan hak milik kepada peneroka yang mengusahakan tanah di sesuatu kawasan lebih tempoh 25 tahun.
Maksud menghidupkan tanah yang mati ialah dengan mengusahakan aktiviti ekonomi atau sebagai tempat tinggal di atas tapak tanah itu.
Maka orang itu harus diberi hak milik, bukan kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan penerokaan.
Rangkaian Al Azhar
Ustaz Azizan mempunyai rangkaian sahabat yang amat luas, di dalam mahupun luar negara.
Di Mesir misalnya, beliau cukup dikenali dalam kalangan alumni Universiti Al Azhar.
Ketika beliau berkunjung ke universiti itu untuk berbincang kerjasama penubuhan Pusat Bahasa di Muasassah Darul Ulum, Rektor Al Azhar sendiri turun bertemu dengannya malah berpesan kepada kakitangan universiti untuk beri apa sahaja bantuan yang diperlukan oleh Ustaz Azizan.
Ini katanya kerana Ustaz Azizan adalah seniornya dalam bidang pengajian mereka, justeru beliau perlu diberikan penghormatan yang tinggi.
Kalau kita nak gambarkan pemimpin PAS yang ada hari ini anak didik dia. Banyak belajar derita pun banyak. Kena marah hari-hari.
Bagaimana jika PAS diberi peluang memerintah Kedah, adakah projek-projek Ustaz Azizan terutama yang ditinggal terbiar akan diusahakan semula?
Sebagai pegawai yang paling hampir dengannya sepanjang tempoh berkhidmat, saya melihat Ustaz Azizan pada setiap masa adalah seorang pemimpin yang sentiasa berfikir untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Tidak ada langsung dalam kamus hidupnya nak `enjoy’ atau bermewah atau bersenang-lenang dengan kedudukan yang disandang. Hal kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa dalam fikirannya.
Itulah sebab apabila kita teliti, setiap projek atau rancangan yang dibuat adalah mencakupi setiap keperluan.
Sebutlah apa pun, dan kepada siapa pun… semua golongan rakyat Kedah akan mendapat manfaat sama ada secara langsung atau tidak langsung atas apa yang diusahakan oleh kerajaan.
Tetapi malangnya. Apabila pemerintahan bertukar tangan, walaupun dipesan sendiri oleh Ustaz Azizan menjelang saat pemergiannya kepada Datuk Seri Mukhriz, banyak usaha beliau yang sudah separuh jalan, malah ada yang telah membuahkan hasil, ditinggalkan begitu sahaja.
Kalau diteruskan pun, bukan soal nama atau idea siapa yang kita utamakan tetapi hasilnya adalah untuk rakyat.
Sehubungan itu, kalau ditakdirkan Allah untuk kita berkuasa semula – tidak kiralah sama ada dalam waktu terdekat atau selepas pililihan raya umum akan datang – kita akan sambung dan tambah baik mana-mana usaha Allahyarham yang tergantung selama ini.
Antara jasa Ustaz Azizan
1. Kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (kini Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, UNISHAMS) di Kuala Ketil yang jadi kebanggaan rakyat Kedah. Selepas perubahan pentadbiran kerajaan, berlaku ‘gangguan’ dalam operasi pusat pengajian ini termasuk penutupan beberapa fakulti termasuk yang terpaksa berpindah balik ke Alor Setar disebabkan kerajaan negeri kekurangan dana.
2. Projek Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba. Ini impian besar Ustaz Azizan dan masa di hospital, inilah yg dipesannya sebagai amanat kepada Datuk Seri Mukhriz untuk direalisasikan. Malangnya, tidak lama selepas pemergian Ustaz Azizan, projek itu dibatalkan oleh pentadbiran baharu.
3. Kilang mengetin buah buahan di Sungai Petani. Usaha membeli buah-buahan daripada penduduk kampung, dihantar ke kilang di Sungai Petani untuk diproses sebagai buah-buahan dalam tin, ataupun jus dan pelbagai produk lain. Projek ini sangat membantu ekonomi orang kampung dengan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka. Kilang ini juga sudah ditutup oleh kerajaan Kedah bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz.
4. Semasa pentadbiran Allahyarham, terdapat ladang mangga yang diusahakan secara komersil di Tobiar, Pendang. Dari ladang ini, pelbagai produk berasaskan mangga dihasilkan bawah jenama Tobiar Gold. Dahulu terdapat kiosk menjual produk Tobiar Gold di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas… sekarang sudah tidak ada.
5. Skim Kafallah. Jika berlaku kematian dalam kalangan penama yang berdaftar dalam senarai e-Sinar, keluarga akan mendapat khairat sebanyak RM1,000 atau RM500. Mereka yang bukan Islam juga berhak untuk menyertai skim ini.
6′ Projek Ladang Rakyat dan agropelancongan di Charok Genting Bunga, Tasik Pedu, Padang Terap. Projek pembekalan makanan berasaskan pertanian. Pembukaan ladang oleh anak syarikat PKNK untuk pelbagai jenis tanaman seluas 400 hektar menggunakan teknologi pengairan dari Mesir dan Belanda.
7. Pembinaan semula bangunan terbengkalai Plaza Tunku Yaacob sejak 30 tahun di tengah bandar raya Alor Setar. Kini, bangunan itu, Aman Sentral jadi mercu tanda Alor Setar. – SM