
PPKL, Pilihan Veteran Perlis juara bersama “Bola Raya 2025”
Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dan Pasukan Pilihan Veteran Perlis dinobatkan sebagai Johan Bersama dalam perlawanan ‘Bola Raya 2025’ yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada petang semalam.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah di akhir perlawanan.
Turut berangkat, anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang turut beraksi mewakili pasukan PPKL.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim dan Yang DiPertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur, Datuk Md Silmi Abd Rahman.
‘Bola Raya’ anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) ini merupakan acara tahunan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan merapatkan ukhuwah dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis di perantauan khususnya yang bermastautin di Lembah Klang ‘balik kampung’ untuk berhari raya.
Pertandingan sempena Syawal ketiga atau keempat ini merupakan cetusan idea dan inisiatif Tuanku Raja Muda sendiri ketika Baginda menjadi Ahli Jawatankuasa PPKL memegang potfolio Belia dan Sukan pada tahun 1992 dan diteruskan sehingga ke hari ini.
Dalam perlawanan edisi tahun ini yang turut diadakan khas bagi meraikan ‘Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Negeri Perlis’, PPKL terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan jarak dekat oleh Mohd Fauzi Nan. Namun, Pilihan Veteran Perlis tidak berputus asa, dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Azizi Mat Rose.
Acara ini bukan sahaja menjadi medan mengimbau kenangan bagi para pemain veteran tetapi juga simbol semangat perpaduan dan kecintaan terhadap bola sepak dalam kalangan anak-anak Perlis dan banyak di antara mereka pernah menyarung jersi kebangaan pasukan kuning-biru Singa Utara Perlis.