Karnival Rakyat Prihatin meriah dengan pelbagai aktiviti dan jualan rahmah
KARNIVAL rakyat dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung Sabtu lepas di Ibu Kota, orang ramai berpeluang nikmati pelbagai acara menarik seperti Zumba, pertandingan karaoke, dan sukaneka rakyat.
Kanak-kanak pula dihiburkan dengan aktiviti mewarna yang disediakan khas untuk mereka, menjadikan acara ini sesuai untuk seisi keluarga.
Karnival ini turut diserikan dengan persembahan daripada artis terkenal, Zaiton Sameon dan Mac Ruhayu, yang menghiburkan orang ramai dengan lagu-lagu malar segar mereka.
Menurut Pengarah EVV, Pn Julianah Ishak, karnival ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah turut memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan tambahan. Program ini turut mengetengahkan inisiatif Jualan Rahmah melalui 30 gerai jualan yang disediakan.
Selain itu, karnival ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Mapim Gombak, DBKL, XFOX Niaga, dan KRT Taman Ibu Kota. Beberapa agensi kerajaan turut mengambil bahagian dalam pameran seperti Jabatan Bomba, PDRM, JPJ, JPAM, Perkeso, LPPKN, dan Pusat Darah Negara. Kehadiran mereka memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapat maklumat berguna secara langsung.
Pengacara tersohor, Mummy Didie Alias, turut mencuri perhatian dengan celotehnya yang menceriakan suasana sepanjang program berlangsung. Karnival ini bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya mencapai objektifnya untuk mengeratkan hubungan komuniti sambil memberi manfaat kepada penduduk setempat.