Politik

Usaha penyatuan Melayu-Islam akan diperkuatkan

Sekretariat Orang Melayu (SOM) yang diwujudkan atas usaha Tun Dr Mahathir Mohamad, wajar disokong dan ia amat diperlukan untuk perpaduan orang Melayu-Islam ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata,  siapa saja atau mana-mana pihak yang melakukan usaha ke arah itu, ia wajar disokong.

“Tidak hanya yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sahaja, tetapi sesiapa pun, kalau ada buat sebarang usaha yang menjurus kepada perpaduan mesti disokong.

“Kerana itulah yang diperlukan oleh umat Islam dan orang Melayu kerana yang menjadi musuh utama kita adalah perpecahan,” tegas beliau seperti yang dipetik daripada Harakahdaily.

Katanya, orang Melayu sebenarnya ramai, kuat dan mampu memimpin, tetapi yang berlaku kini, menjadi mangsa sebab gagal untuk bersatu dan berpadu.

Menurutnya, penganjuran sidang meja bulat SOM adalah satu permulaan baik dan tidak ekslusif kepada yang hadir pada hari itu sahaja tetapi boleh diperkembangkan lagi.

“Pada persidangan hari tu ada tujuh parti politik Melayu, 19 badan utama NGO Melayu dan 20 NGI Islam. Tapi itu sebagai permulaan dan akan diperkembangkan termasuk ke peringkat negeri-negeri,” katanya.

Menyentuh berkenaan kekangan 3R iaitu bangsa, agama dan raja-raja, kata Annuar, sekiranya tindakan yang dilakukan tidak melanggar undang-undang, tiada sebab boleh disekat.

Malah tegasnya lagi, sekiranya orang Melayu tidak bercakap berkenaan bangsanya, agamanya dan raja-rajanya, tiada pihak lain lagi yang akan bercakap berkaitan hal tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button