Politik

‘Derma jihad’: Tak salah bantu Mastura bayar saman, kata mursyidul am PAS

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, tidak salah ahli semua peringkat parti itu menyumbang dalam ‘derma jihad’ kepada Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad yang kalah dalam kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP.

Hashim berkata, hal ini kerana sikap bantu-membantu sudah menjadi amalan PAS sebagai parti Islam.

“Iya, sepatutnya kita pakat tolong dia … Bagi saya, tak salah pun kalau nak bantu, bukan dipaksa,” katanya lapor FMT.

Terdahulu, tersebar surat pekeliling yang dihantar kepada pemimpin utama pusat, negeri dan sayap PAS memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Mastura membayar RM825,000 dengan kadar segera, yang diperintahkan oleh mahkamah

Menurut surat itu lagi, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, dan kerusinya akan dikosongkan.

“Pihak PAS telah membincangkan perkara ini dengan teliti dan memutuskan bahawa PAS pada semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut,” menurut surat itu.

“(Ia) memandangkan Mastura, yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap DAP, melakukannya dalam keadaan yang berasas semasa menunaikan tanggungjawab terhadap parti dan perjuangan, iaitu pada kempen PRK Kemaman pada 4 Nov 2023.”

Dalam pada itu, Hashim mengakui belum menerima surat itu daripada pusat namun beliau telah dimaklumkan mengenainya.

Pada 4 Dis lepas, Mastura kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubung ucapan beliau yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin-pemimpin DAP tersebut, iaitu RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok.

Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button