Geng Pacific Siva dituduh mengikut Sosma
BUTTERWORTH: Seramai 16 lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali ‘Geng Pacific Siva’ sejak lapan tahun lalu.
Tertuduh terdiri daripada M Subramaniam, 44; G Tilagarajan, 36; M Kesavan, 39; N Sharvin, 26; T S Ligen Kumar, 26; M Dineswaren, 24; P Kirubaagaran, 23; G Meheshkumara, 27; M Janagesh, 28, dan R Logeswaaraaj, 30.
Turut didakwa ialah K Hendry, 44; M Sivasangkaran, 37; M Partiben, 29; S Arunan, 32; S Denneswaran, 28, dan V Alagis, 31.
Ketika pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nor Azah Kasran, semua mereka mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.
Ia berikutan kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, 14 daripada tertuduh berusia 23 hingga 44 tahun didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun 2016 hingga 26 November 2024.
Dua lagi tertuduh berusia 32 dan 44 tahun pula didakwa terbabit antara Februari 2019 hingga 26 November 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan Lina Hanini Ismail, manakala 13 daripada 16 tertuduh diwakili peguam masing-masing.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 7 Februari ini.