Nasional
Kementerian Pertanian diarah pastikan tambahan hasil padi tahun depan
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarahkan supaya memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengeluarkan arahan itu berkata, ia bagi memastikan keterjaminan bekalan padi dan beras sebagai makanan ruji negara.
“Dalam soal ini, saya mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan tambahan hasil padi yang signifikan pada tahun 2025.
“Sasaran ini penting bagi untuk meningkatkan hasil pesawah, di samping memastikan keterjaminan bekalan padi beras sebagai makanan ruji negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil. 2/2024 di Putrajaya.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar memberitahu. mesyuarat tersebut antara lain memberi tumpuan kepada isu produktiviti hasil padi negara.
“Dengan strategi yang proaktif dan kerjasama semua pihak, agenda keterjaminan makanan akan terus didukung oleh Kerajaan MADANI bagi kemaslahatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” katanya. – SM