Thaksin penasihat tidak rasmi kepada PM selaku pengerusi Asean
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Asean pada tahun depan telah melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat peribadi “tidak rasmi”.
Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra yang juga anak perempuan Thaksin, Anwar berkata Thaksin akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin lain dari rantau ini.
“Saya telah bersetuju untuk melantik (Thaksin) sebagai penasihat peribadi saya selaku pengerusi Asean, bersama satu pasukan daripada negara-negara anggota Asean.
“(Ini adalah) satu susunan tidak rasmi. Terima kasih (Paetongtarn) kerana bersetuju dengan perkara ini. Kita memerlukan manfaat daripada pengalaman negarawan sepertinya,” kata Anwar di Putrajaya hari ini.
Thaksin memimpin Thailand pada 2001 hingga 2006 dan hidup dalam buangan selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.
Dia kembali ke Thailand tahun lalu sebelum pilihan raya umum, di mana tentera dijangka tewas.
Sebaik kembali pada Ogos tahun lalu, bekas ahli perniagaan itu ditangkap dan dipenjara atas kesalahan salah guna kuasa.
Raja Thailand kemudian mengurangkan hukuman penjara lapan tahun ke atasnya kepada setahun dan dia dibebaskan dengan parol pada Februari lalu.
Dalam hantaran beliau ke Facebook Anwar berkata, usai sidang media bersama, saya dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra terus ke Seri Perdana untuk makan tengah hari bersama-sama delegasi sambil dijamu lauk-pauk tempatan selain seni persembahan kebudayaan.
“Ruang santai ini digunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu terkait antara dua-dua negara selain mengambil kesempatan untuk berehat selepas sesi perbincangan rasmi yang panjang.
“Diharapkan, pertemuan saya dan Paetongtarn ini mampu melonjak masa depan yang cemerlang untuk Malaysia dan Thailand kelak, Insya-Allah,” katanya.