Balai Seni Negara angkat seni Visual dan Sastera ke persada baharu
BALAI Seni Negara hari ini melancarkan Kalendar Program 2025, yang merupakan rangkuman pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dirancang sepanjang tahun.
Majlis tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Balai Seni Negara.
Kalendar Program 2025 dirangka dengan teliti bagi merancakkan landskap seni negara serta memperkukuh ekosistem seni tempatan melalui keterlibatan masyarakat dalam program dan aktiviti yang dianjurkan. Program ini merangkumi pameran bertaraf antarabangsa, bengkel seni, seminar, program residensi, wacana, simposium, ‘knowledge transfer’, dan aktiviti komuniti.
Dalam majlis yang sama, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman turut merasmikan Program Manifestasi Dua Seni, yang berlangsung dari November 2024 hingga Januari 2025 di seluruh negara. Manifestasi Dua Seni merupakan platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.
Penganjuran ini sejajar dengan seruan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, menerusi ucapan beliau dalam Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, untuk memperkukuh karya seni dan sastera negara serta memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.
Program ini menawarkan pengalaman seni yang luar biasa dengan menggabungkan dua cabang seni utama, iaitu seni visual dan sastera. Usaha ini bertujuan memperkukuh identiti budaya Malaysia dengan menampilkan kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair, dan penggiat seni. Program ini menonjolkan karya agung sastera dan seni visual, di samping memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas. Ia juga berfungsi sebagai platform untuk menghargai karya lama sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang.
Manifestasi Dua Seni melibatkan penyertaan pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara, termasuk Roman Buku Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, PORT di Ipoh, Perak, Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, Pahang, dan Kotak Seni di Kelantan. Selain itu, Ambeng Art Space di Johor, Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah, dan Haus KCH di Sarawak turut terlibat.
Setiap persatuan menganjurkan aktiviti kesenian seperti pameran, bengkel seni, malam puisi, dan persembahan seni yang menonjolkan keunikan seni dan sastera di setiap negeri. Terdapat juga pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya agung, memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni visual dan penulisan. Antara program yang telah berlangsung sebelum ini ialah Kalimat di Balai Seni Negara dan Suara Rasa x Dendang Anak bertempat di PORT, Ipoh, Perak.
Manifestasi Dua Seni dianggap sebagai wadah untuk mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi. Pendekatan ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan, malah turut menjadi jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya demi memperkukuh warisan seni negara.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN, YBrs. Dr. Tan Awang Besar, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.
Pelancaran Kalendar Program 2025 dan Manifestasi Dua Seni mencerminkan aspirasi Balai Seni Negara untuk terus memperkasa peranan seni dalam membentuk identiti budaya negara. Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni tempatan, menyatukan masyarakat melalui pelbagai aktiviti seni, sekaligus mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya bertaraf antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai program anjuran Balai Seni Negara, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang di www.artgallery.gov.my.