Nasional

KPKT berjaya pulih projek terbengkalai, sakit bernilai RM85.82 bilion dalam tempoh 2 tahun

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah meninjau kemajuan projek 168 Park Selayang sempena Program Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pagi
tadi.

Beliau turut merasmikan pembukaan 168 Park Mall yang akan menjadi salah satu pusat membeli belah ikonik di kawasan Selayang.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Pasukan Petugas Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai telah berjaya memulihkan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM85.82 bilion dalam tempoh dua tahun.

Projek ini pada asalnya dibangunkan oleh Sierra Delima Development Sdn. Bhd. yang melibatkan
pembangunan empat blok kediaman namun telah tertangguh akibat krisis kewangan syarikat.

“Projek ini telah diambil alih oleh 168 Park Selayang Sdn. Bhd. melibatkan pembangunan Pangsapuri Suite 21 tingkat bagi Blok A dan 40 tingkat bagi Blok B yang kini dalam pembinaan dan berstatus lancar.

“Manakala Blok C telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC) serta diserahkan kepada pembeli.

“KPKT amat berbesar hati di atas komitmen pemaju dalam melancarkan semula projek ini yang sebelumnya merupakan projek sakit.

“KPKT beriltizam memastikan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030.

“Secara keseluruhannya bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober 2024, intervensi dan pemantauan berterusan oleh TFST mendapati sebanyak 410 projek telah berjaya dipulihkan melibatkan 49,111 unit perumahan swasta dengan Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) bernilai RM46.01 bilion,” katanya

Jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 385 projek yang telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance -CCC), 18 projek yang berstatus lewat kembali menjadi lancar dan 7 projek terbengkalai yang berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC/CFO dan kaedah penyelesaian pembeli.

Katanya, pada tahun 2025, KPKT akan menambahbaik aspek perundangan sedia ada melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757). Bagi Akta 118, KPKT sedang melaksanakan penggubalan rang undang-undang akta baharu iaitu Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi menggantikan Akta 118.

Akta baharu ini katanya, akan turut diperluaskan merangkumi pemajuan harta tanah komersial. KPKT menyasarkan akta ini dapat dibentangkan di sidang Parlimen pada suku kedua tahun 2025.

Manakala RPDA kelak akan menambahbaik perlindungan kepentingan pembeli rumah khususnya bagi pembeli yang membeli unit kediaman komersial dan pembeli yang membeli kediaman yang dibina di atas tanah wakaf.

Selain itu, pemanjangan tempoh pelindungan kecacatan kepada pembeli kediaman juga akan membolehkan pembeli mendapat manfaat di atas pelindungan yang dikeluarkan oleh pemaju perumahan.

Kerajaan turut bercadang untuk mengenakan sekatan ke luar negara kepada pemaju yang mempunyai projek perumahan terbengkalai atau gagal menyiapkan kediaman sebagaimana persetujuan di dalam
kontrak.

Bagi Akta 757, kajian dan pindaan baharu sahaja bermula pada tahun ini yang bertujuan menangani isu-isu perundangan yang berbangkit berkaitan pelaksanaan akta dan peraturan-peraturan yang sedia ada.

Kajian ini turut mengambil kira perubahan dan perkembangan industri semasa yang dinamik berkaitan pengurusan strata.

Oleh yang demikian, penelitian yang rapi adalah diperlukan sebelum sebarang cadangan pindaan dikuatkuasakan bagi memastikan aspek penyenggaraan dan pengurusan bangunan serta harta bersama dilaksanakan dengan sempurna dan komprehensif.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button