Pengurusan pembelajaran harus diterapkan di dalam sektor swasta, awam – Raja Muda Perlis
KANGAR 11 Dis. – Pengurusan Pembelajaran atau ‘Learning organization’ wajar diterapkan di dalam setiap kumpulan pekerja baik awam mahupun swasta di negeri ini bagi memantapkan lagi pengurusan dan keterlihatannya di peringkat yang lebih tinggi.
Bagi mengukur keberkesanan inisiatif pembelajaran sepertimana konsep yang pertama kali dijelaskan oleh Peter Senge tersebut ialah dalam sesebuah kumpulan pekerja ini, terdapat beberapa metrik atau panduan yang boleh digunakan.
Antaranya ialah ‘Peningkatan Prestasi’ dengan mengukur prestasi individu atau kumpulan sebelum dan selepas melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Sebagai contoh, apakah peningkatan produktiviti, kualiti kerja, atau kecekapan operasi.
‘Tahap Partisipasi Pekerja’ juga boleh dipantau dalam program pembelajaran. Ini termasuk jumlah peserta, kehadiran dalam kursus, dan penggunaan sumber pembelajaran.
Kaji selidik untuk mengukur ‘Kepuasan Pekerja’ terhadap inisiatif pembelajaran boleh dilaksanakan. Adakah mereka merasa manfaat daripada program ini?
Demikian titah ucapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs yang Kelima bagi tahun 2024 diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Kompleks Darul Qadak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs), Kangar baru-baru ini.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, bagaimana ‘Pekerja Mengaplikasikan Pengetahuan’ yang diperoleh daripada pembelajaran juga boleh dipantau. Adakah mereka menggunakannya dalam kerja sehari-hari?
Selain daripada itu, jumlah idea baharu atau perubahan yang dicadangkan oleh pekerja selepas terlibat dalam pembelajaran turut boleh diukur. ‘Inovasi’ adalah petunjuk bahawa pembelajaran itu berkesan.
Justeru, jelas Tuanku Raja Muda lagi, metrik yang dipilih haruslah dipastikan bersesuaian dengan matlamat kumpulan pekerja itu sendiri dan membolehkan pihak pengurusan menilai kesan sebenar inisiatif pembelajaran yang dilaksanakan.