”Hutang wajib dibayar, tindakan perundangan adalah jalan terakhir”- Pengurusi Mara
MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) tidak akan bertindak secara sewenang-wenangnya terhadap peminjam yang gagal membayar hutang, kata Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Menurut beliau, MARA sentiasa mematuhi prosedur dan proses yang ketat berdasarkan lunas undang-undang.
“Selain itu, sebelum sebarang tindakan perundangan diambil, MARA akan memberi peluang kepada peminjam yang bermasalah untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian mengenai penjadualan serta penstrukturan hutang mereka,” jelas Asyraf Wajdi.
Namun, beliau menegaskan bahawa jika peminjam terus culas dan sengaja mengelak daripada membayar hutang, walaupun berkemampuan dan menunjukkan kemewahan di media sosial, MARA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan.
“Jika semua usaha ini masih gagal, dan mereka terus berdiam diri, MARA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan,” tambah beliau menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi mengulas mengenai serbuan pihak MARA ke kediaman aktres terkenal Rozita Che Wan di Kota Damansara, hari ini. Serbuan tersebut dilakukan ekoran kegagalan Rozita untuk melunaskan pinjaman berjumlah hampir RM1 juta. Menurut laporan media, pihak MARA menilai barangan dalam kediaman tersebut untuk tujuan penyitaan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa hutang adalah tanggungjawab yang wajib dilunaskan, dan beliau tidak memiliki kuasa untuk membatalkan hutang tersebut.
“Hutang wajib dibayar. Jangan merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang. Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah MARA, yang kelak akan dipersoalkan oleh Allah,” tegas beliau.