Sekolah perlu bersedia menerima perubahan – Raja Muda Perlis
ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak sekolah hendaklah sentiasa bersedia menerima sebarang suntikan perubahan semasa seiring dengan zaman Teknologi Maklumat dan Digital agar kekal dikagumi dan memiliki identiti unggul di negeri Perlis.
Baginda menyeru agar para pendidik terus bekerjasama, menjangkau sehabis tangan untuk sama-sama memastikan para pelajar kini berada pada landasan yang benar demi melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang relevan agar menjadi modal insan yang berdaya saing.
“Selain pelajar, guru-guru juga turut diberikan pengiktirafan. Mereka yang diraikan pada hari ini selayaknya menerima penghargaan kerana telah bertungkus-lumus mencurahkan ilmu, keringat, bakti, mahupun wang ringgit kepada kemenjadian warga sekolah ini dalam mengharungi arus perubahan dalam dunia pendidikan hari ini”
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad yang berlangsung di dewan Dato’ Haji Wan Ahmad sekolah berkenaan di Arau.
Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pembangunan Murid), Haji Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua Sekolah itu, Hajah Adilah Muhamad Nor.
Adilah dalam ucapan aluannya menyatakan, ‘SMK Dato’ Sheikh Ahmad telah meraih pelbagai pencapaian yang membanggakan sama ada dalam bidang akademik dan ko-akademik termasuklah pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang lalu telah mencapai GPS sebanyak 3.23. Lima orang pelajar sekolah ini telah berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran.
Sekolah ini juga telah berjaya meraih Naib Johan dalam Pertandingan Debat Generasi Madani Peringkat Negeri Perlis dan Johan dalam Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi Madani peringkat negeri, Naib Johan dalam Pertandingan Dare to Spell Sekolah Menengah dan Johan Pertandingan Poetry Competition Sekolah Menengah peringkat negeri dan Pingat Emas dalam Pertandingan Perlis International Invention & Innovation Pi-ENVEX 2024 peringkat negeri Perlis di UniMAP dan meraih Silver Award dalam Pertandingan Inovasi di UiTM Merbok.
Bagi kategori kokurikulum pula, pasukan Woodball SMK Dato’ Sheikh Ahmad kategori remaja perempuan bawah 21 tahun telah berjaya mendapat Naib Johan dan meraih Johan dalam Kejohanan Woodball peringkat kebangsaan di Pulau Pinang seterusnya mewakili Malaysia ke Beach World Cup di Korea Selatan dan menjadi johan bagi Kejohanan Boling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) bawah 18 Lelaki dan Perempuan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan Anugerah Dato’ Wan Ahmad kepada Najihah Husna Abdul Wahid dan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Mok Qin Sheng serta Anugerah Terbaik SPM 2023 kepada 32 penerima, Anugerah Keterampilan kepada 4 penerima dan Anugerah Peningkatan Mata Pelajaran SPM 2023 kepada 4 orang guru.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pencapaian Terbaik Dalam Tingkatan, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Pencapaian Peringkat Antarabangsa dan Penghargaan Sumbangan Agensi Luar kepada 41 orang penerima.
Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan agar rentak kecemerlangan SMK Dato’ Sheikh Amad ini perlu diteruskan kerana para pelajar ini merupakan modal insan yang dipertanggungjawabkan untuk mencorakkan masa depan negeri dan negara pada suatu masa nanti.