AgamaEkonomi

LTAT luncur Program Pemerkasaan Usahawan Wira

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (“LTAT”) hari ini meluncurkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 (“PPUW”), sebuah inisiatif yang julung kali dilaksanakan untuk memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (“ATM”).

Program ini, yang menawarkan bimbingan keusahawanan berstruktur kepada usahawan veteran, diluncurkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly  Zahari.

Program ini direka untuk membantu para veteran dan keluarga mereka mencapai kelestarian kewangan jangka panjang. Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dan LTAT bagi membina ekosistem yang lebih inklusif serta mampan khusus untuk veteran ATM.

“Ikhtiar ini adalah sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia khususnya kepada para wira-wirawati negara selepas bersara.

“Selain itu, program ini merupakan bukti, komitmen dan keprihatinan LTAT untuk memperkasa ekonomi warga veteran ATM yang telah banyak berkorban demi kedaulatan Malaysia.” kata Adly.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi pula berkata, LTAT memandang serius terhadap mandat yang diamanahkan selaku sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk memperkukuhkan jaringan perlindungan sosio-ekonomi anggota ATM.

“Di samping memastikan pemberian dividen yang mampan, komitmen LTAT diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi demi menyokong aspirasi Kementerian Pertahanan. Usaha ini merupakan manifestasi keikhlasan LTAT dalam memastikan masa depan yang lebih mampan bagi para pencarum,” katanya.

LTAT menjalankan kerjasama strategik dengan People Systems Consultancy (“PSC”), pakar latihan keusahawanan yang telah melatih lebih 100,000 peserta dimana lebih 70% berjaya meningkatkan pendapatan mereka di dalam jangka masa tiga bulan.

Program perintis bersama LTAT ini menyasarkan seramai 35 usahawan veteran B40. Sepanjang tempoh enam bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif, merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor-mentee, pembelajaran dalam talian, dan penguasaan literasi kewangan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button