Pembaca

Khairul Aming raih sijil halal untuk sambal dan dendeng Nyet, fokus kembangkan produk baharu

PEMPEGARUH media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mengumumkan bahawa dua produk keluarannya, Sambal Nyet dan Dendeng Nyet, kini telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Perkhabaran gembira itu dikongsikan melalui sebuah video di media sosial, di mana Khairul Aming berkongsi perjalanan beliau dan pasukannya membangunkan kilang di Kota Bharu sehingga mencapai pengiktirafan tersebut.

“Sebelum ini, kita bermula dari sebuah kilang kosong di Kota Bharu. Sedikit demi sedikit, kita membangunkannya. Alhamdulillah, kini kita sudah ada dua buah kilang dengan lebih 100 orang pekerja,” ujar Khairul Aming dengan penuh kesyukuran.

Beliau turut memaklumkan bahawa langkah seterusnya adalah mendapatkan sijil Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) bagi kilang mereka di Kelantan.

Dengan adanya sijil halal, Khairul Aming merancang untuk mengembangkan lagi pasaran produknya ke peringkat yang lebih besar, termasuk menerusi e-dagang dan pengilangan makanan di kilangnya.

Tidak berhenti di situ, usahawan muda ini kini giat memfokuskan pembangunan produk ketiga yang dijangka dilancarkan pada tahun 2025.

Khairul Aming juga tidak lupa menyampaikan penghargaan kepada para pelanggan dan penyokong yang setia menyokong perniagaannya sejak awal.

“Tahun 2025 merupakan ulang tahun ke-5 perniagaan kami beroperasi. Terima kasih kepada semua yang terus memberikan kepercayaan,” katanya.

Sebagai tambahan, syarikat Khairul Aming sebelum ini telah memperoleh sijil MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Februari lalu, satu lagi bukti komitmen beliau terhadap kualiti dan keselamatan produk.

Dengan pencapaian ini, Khairul Aming terus membuktikan dirinya sebagai ikon keusahawanan yang berjaya, menginspirasi ramai anak muda untuk mengejar impian mereka.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button