Majlis Pemakaian Pangkat Perdana: 250 Anggota Kor Armor Diraja terima pengiktirafan
SERAMAI 250 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Armor Diraja (KAD) telah dipakaikan pangkat secara beramai-ramai dalam Majlis Pemakaian Pangkat Perdana yang berlangsung di Padang Kawad Rejimen Ke-11 KAD, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, yang diiringi oleh Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Darat, Puan Sri Hartiah Hamzah.
Dalam pemakaian pangkat ini, lima Pegawai Waran II dinaikkan ke Pegawai Waran I, 13 Staf Sarjan ke Pegawai Waran II, 29 Sarjan ke Staf Sarjan, 153 Koperal ke Sarjan, dan 50 Lans Koperal ke Koperal.
Keunikan majlis ini terletak pada perbarisan yang melibatkan Ketua Perbarisan dan Sarjan Mejar Rejimen menunggang kuda, yang menonjolkan keistemewaan KAD sebagai satu-satunya Kor dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mempunyai Skuadron Istiadat Berkuda.
Majlis ini diadakan buat julung kalinya setelah penstrukturan semula KAD yang diluluskan tahun ini. Selain itu, PTD dan isteri juga menyampaikan sumbangan kepada 15 penerima terdiri daripada anggota dan keluarga anggota KAD yang menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan PTD, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim serta pegawai-pegawai tinggi lain dari Tentera Darat. –SM