Pendidikan

Raja Perlis tekankan kepentingan TVET dalam pembangunan negara

ARAU, 27 Okt (Bernama) — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan amat penting bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dalam era yang pesat berkembang.

Baginda bertitah TVET bukan sekadar melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal malah ia juga memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal yang penting sekali gus menyumbang kepada produktiviti dan inovasi.

“Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) antara institusi TVET yang memberikan tumpuan kepada perkembangan kemahiran teknikal dan profesional yang merupakan landasan bagi kecemerlangan ekonomi negara.

“Kemahiran teori dan praktikal yang dimiliki graduan juga boleh terus digunakan dalam industri pekerjaan,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen kali ke-16 PTSS di Dewan
Harumanis PTSS di sini hari ini.

Titah ucapan Raja Perlis dibacakan Raja
Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah TVET turut membuka peluang kerjaya kepada golongan muda yang mungkin tidak memilih laluan pendidikan akademik secara tradisional.

“Hal ini dapat memberikan lebih banyak peluang serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia. Tahniah diucapkan kepada pihak PTSS yang telah memainkan peranan besar dalam membekalkan graduan berkualiti ini.

“Graduan keluaran politeknik amnya dan
PTSS khasnya ialah tulang belakang kepada kemajuan negara dalam pelbagai bidang teknikal. Sebagai graduan TVET, saudara saudari adalah individu yang amat berbeza dan berharga dalam dunia pekerjaan,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di PTSS, graduan bukan sahaja dilatih untuk menjadi pekerja yang mahir malah menjadi pencipta, usahawan dan pemimpin dalam industri masing-masing.

“Ilmu telah dicurah, kemahiran telah diberi, dan kini menjadi tanggungjawab para graduan sekalian untuk membawa perubahan kepada negara.

“Saya juga menyeru kepada semua yang berada di dewan ini untuk sama-sama kita menyemarakkan budaya ilmu bagi memartabatkan institusi pendidikan, khususnya di negeri Perlis,” titah baginda.

Majlis konvokesyen yang berlangsung sebanyak tiga sidang itu bermula hari ini hingga Selasa, meraikan 1,155 graduan lulusan diploma, asasi dan sijil dalam pelbagai jurusan TVET yang tamat pengajian bagi tahun lepas dan tahun ini.

Pada sidang pertama majlis konvokesyen itu, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan Anugerah Anumerta kepada waris Muhammad Zarif Aidy Mohamad Zahir graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang meninggal dunia pada 18 Mei lalu akibat nahas jalan raya.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan Anugerah Diraja kepada graduan Diploma Pengurusan Pelancongan Lok Mee Wan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button