Ekonomi

Public Bank akan ambil alih kepentingan mengawal dalam LPI

 Public Bank Berhad (Public Bank) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (Perjanjian Jual Beli) dengan Estet Mendiang Tan Sri Dr. Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd  pada 10 Oktober 2024 untuk mengambil alih saham-saham biasa secara agregat sebanyak 175,896,000 dalam LPI Capital Bhd (LPI), mewakili kira-kira 44.15% kepentingan ekuiti dalam LPI, untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion (Cadangan Pengambilalihan).

LPI, sebuah syarikat yang disenaraikan pada Pasaran Utama Bursa Malaysia, telah beroperasi selama lebih 60 tahun dan terlibat terutamanya dalam penajajaminan insurans am. LPI kini mempunyai 21 buah cawangan di serata Malaysia, sebuah cawangan di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja melalui sebuah syarikat bersekutu.

Semasa bercakap pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli itu,Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank,  Tan Sri Dr. Tay Ah Lek, berkata, “Cadangan Pengambilalihan ini merupakan peluang strategik untuk Public Bank mengembangkan lagi segmen insurans amnya dalam pasaran di Malaysia melalui LPI.

“Ini membolehkan Public Bank untuk turut segera berada dalam pasaran insurans dan memperkukuhkan segmen insurans am di Malaysia sebagai perkhidmatan sampingan yang komprehensif bagi perkhidmatan kewangan dan Takaful Keluarga.”

Beliau berkata, “Cadangan Pengambilalihan ini juga selari dengan rancangan Kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik tetapi melalui pengambilalihan yang strategik untuk memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan kami seperti yang dibuat melalui pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini, yang membolehkan Kumpulan mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangannya di Vietnam menerusi perkhidmatan perdagangan sekuriti.”

Tay berkata, “Pengambilalihan strategik Kumpulan LPI, sebuah syarikat insurans am terkemuka yang telah lama wujud di Malaysia, merupakan peluang jelas dan unik untuk kami memacu wawasan kami ke arah “Model Perbankan Universal” yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang komprehensif serta produk dan perkhidmatan berkaitan yang lain di bawah kumpulan yang sama.

Dengan rangkaian sedia ada kami iaitu lebih daripada 260 buah cawangan yang ditempatkan di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaat dan memperluaskan saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia. Selain itu, kami juga boleh memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI, selain memberi perkhidmatan kami kepada klien dan pelanggan LPI.

Selain menawarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, Public Bank dan LPI juga boleh meneroka peluang untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu baharu, khusus untuk memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan kami.”

Memandangkan ini merupakan urus niaga pihak yang berkaitan, Cadangan Pengambilalihan ini tertakluk pada kelulusan para pemegang saham tidak berkepentingan Public Bank pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) yang akan diadakan kelak. Sekiranya Cadangan Pengambilalihan ini diluluskan di mesyuarat tersebut, Public Bank diwajibkan untuk memberi tawaran pengambilalihan mandatori (“MGO”) (“Cadangan Tawaran”) bagi kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh Public Bank.

Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi Cadangan Pengambilalihan ini dan pelaksanaan korporat ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2025.

Sekiranya tiada halangan, Cadangan Pengambilalihan ini dijangka akan menjadi nilai tambah dan akan menyumbang secara positif kepada perolehan Kumpulan Public Bank pada masa hadapan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button